Umum

Lelaki dikhuatiri lemas ketika jala udang

Seorang lelaki yang sedang menjala udang dikhuatiri lemas selepas hilang dibawa arus ketika air pasang di Sungai Perak berhampiran Pulau Pasir di sini pada Selasa.

Kejadian sekitar jam 2.43 petang itu berlaku ketika mangsa berusia 37 tahun bersama seorang rakannya turun ke sungai untuk menjala udang galah di atas tepi beting pasir.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, berdasarkan keterangan, ketika mangsa turun, kedalaman air sudah berada pada paras dada.

Menurutnya, kejadian itu disedari rakan mangsa yang cuba memanggil untuk memastikan mangsa selamat, namun tiada jawapan.

“Pada awalnya rakan mangsa beranggapan mangsa cuba berendam dalam air disebabkan cuaca panas.

“Tidak berapa lama kemudian, rakannya terdengar mangsa menjerit minta bantuan dan nampak tangan mangsa terkapai-kapai,” dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Beliau berkata, ketika kejadian rakan mangsa cuba mengangkat mangsa ke atas, namun tidak berjaya kerana tali jala yang masih terikat di tangan mangsa selain keadaan arus kuat hingga menyebabkan mangsa terlepas daripada pegangan.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat telah digerakkan di lokasi oleh anggota bomba dan setakat ini, mangsa masih belum ditemui.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.

PALING POPULAR

To Top