Seorang lelaki berusia 24 tahun dihukum penjara enam bulan dan denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret hari Jumaat setelah disabitkan kesalahan memiliki 19,011 dokumen melibatkan video dan gambar pornografi kanak-kanak, Mei lalu.
Majistret T. Ashvinii menjatuhkan hukuman itu setelah tertuduh, Liew Ming Hui mengaku bersalah terhadap pertuduhan terhadapnya.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara dilaksanakan mulai hari ini selepas menolak permohonan peguam agar ia ditangguhkan, sementara pihaknya membuat rayuan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai pembantu di kedai ubat tradisiomal milik ayahnya, didakwa memilik satu bahan pornografi kanak-kanak iaitu satu pendrive yang mengandungi video dan gambar melibatkan kanak-kanak.
Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 10, Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mengikut laopran fakta kes, kira-kira jam 5 petang, 29 Mei lalu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Hilir Perak telah membuat pemeriksaan di sebuah rumah di RPA 2, Langkap.
Hasil pemeriksaan pihak polis telah membuat rampasan barang kes dalam jagaan tertuduh termasuk sebuah komputer riba dan sebuah pendrive.
Pemeriksaan dan siasatan oleh Jabatan Forensik PDRM telah mendapati 19,011 dokumen melibatkan video dan gambar pornografi kanak-kanak di dalam pendrive berkenaan.
Pendakwaan telah dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Izzuddin Fakri Hamdan manakala tertuduh diwakili oleh Peguam Jude Pereira.