Umum

Lesen GDL: Cadangan tidak relevan, beban pemandu p-hailing

CADANGAN kerajaan mewajibkan pengambilan lesen memandu vokasional (GDL) terhadap penghantar p-hailing tidak relevan dan akan membebankan penghantar.

Jurucakap Persatuan Kebajikan Perkhidmatan Penghantar Bermotosikal Perak (PKPPBP), Ahmad Khusyairi Yunos berkata, status motosikal persendirian penghantar tidak sesuai untuk dikawalselia dengan peraturan GDL tersebut.

“Sebelum ini, enghantar surat di bawah POS Malaysia pernah diwajibkan mengambil lesen GDL, tetapi, telah dimansuhkan oleh POS Malaysia sendiri kerana mereka sudah menggunakan motosikal yang tidak mempunyai kotak penghantaran kekal yang dipasang di motosikal.

“Jadi, pada saya, pelaksanaan itu tidak relevan kerana bagi penghantar p-hailing, bag penghantaran kami boleh ditanggalkan dan dibawa,” katanya ketika dihubungi SatuBerita pada Selasa.

Isnin lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata penunggang p-hailing bakal disyaratkan untuk memiliki lesen GDL bagi membolehkan kerajaan mengawal selia perkhidmatan tersebut dengan baik.

Selain itu, Ahmad Khusyairi juga berkata, pengambilan lesen itu juga akan memberikan beban kewangan terhadap penghantar p-hailing.

“Jika kita berkata mengenai kesan jangka masa panjang, saya pasti kos akan meningkat kerana dengan lesen GDL, ini akan menjadikan kenderaan seseorang itu sebagai kenderaan perdagangan.

“Apabila menjadi kenderaan komersial, pasti mereka perlu melalui PUSPAKOM dan bagi lesen itu pula, ia perlu diperbaharui setiap tahun serta perlu melakukan pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Mengulas mengenai kemampuan pengambilan lesen GDL dalam meningkatkan tahap keselamatan penunggang, Ahmad Kusyairi melihat perkara itu bukanlah satu langkah yang berkesan.

“Saya rasa perkara itu tidak tepat, kerana lesen GDL ini sebenarnya untuk mendapatkan kebenaran membawa barang untuk kenderaan komersial.

“Untuk keselamatan ini, saya rasa perkara itu subjektif kerana ia bergantung kepada sikap seseorang ‘rider’ itu sendiri,”

Penyelaras Rakan Penghantar Melaka, Faizal Azhar Jamaluddin berkata, caj untuk mendapatkan lesen GDL itu akan memberi tekanan kepada penghantar p-hailing.

Katanya, kos mendapatkan GDL antara RM300 hingga RM400 sangat tinggi bagi  penghantar.

“Rata-rata penghantar tidak setuju dengan cadangan itu kecuali sekiranya kos (mendapatkan lesen) dibiayai kerajaan atau syarikat penghantar,” katanya.

Jelasnya, penghantar p-hailing masih bersikap terbuka untuk menghadiri kelas mendapatkan lesen meskipun memahami pendapatan harian mereka akan terjejas.

“Saya lihat mereka boleh korbankan masa kerana sekiranya mereka bekerja, mereka boleh capai sasaran pendapatan harian. Cuma, siapa boleh tanggung kos mendapatkan lesen?” katanya.

Sumber: Satu Berita

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top