Umum

Letak jawatan bukan bermakna Wan Saiful bersalah – Muhyiddin

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan peletakan jawatan Datuk Wan Saiful Wan Jan sebagai Ketua Penerangan parti itu bukan bermakna beliau bersalah dalam kes mahkamah yang dihadapinya.

Sebaliknya, Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu dibuat oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu supaya tidak timbul salah pandangan terhadap parti.

“Saya sudah berjumpa dengan Datuk Wan Saiful pagi tadi (Rabu) dan setelah berbincang, beliau bersetuju untuk meletakkan jawatan berkuat kuasa hari ini. Ia bukan kerana kita mengatakan dia sudah bersalah, tidak.

“Ini satu set standard kerana dia sudah berhadapan dengan tuduhan, supaya tak timbul salah pandangan terhadap Bersatu, beliau sendiri menyatakan akan meletakkan  jawatan. Ini satu tindakan yang saya hargai,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat pada Rabu.

Ahli Parlimen Pagoh itu memaklumkan, Wan Saiful telah menghantar surat peletakan jawatan berkuat kuasa hari ini.

“Ia satu sifat mulia yang saya sanjung supaya dengan cara ini, kita dapat menjawab atas dasar bermaruah.

Ini bukan menghukum, tapi dia secara sukarela,” ujar Muhyiddin.

Muhyiddin berkata, tanggungjawab sebagai Ketua Penerangan akan dipimpin oleh salah seorang daripada ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang akan dilantik.

Pelantikan itu, katanya, akan dibuat secepat mungkin memandangkan parti itu sedang membuat persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Orang yang kita akan namakan nanti akan meneruskan kerja-kerja baik yang telah dibuat oleh Wan Saiful.

“Langkah yang diambil ini akan memudahkan penggantinya menjalankan tugas kerana penerangan ini penting untuk menyebar luas dasar perjuangan, matlamat dan agenda parti serta manifesto yang akan kita keluarkan untuk PRN nanti,” jelasnya.

Terdahulu, Wan Saiful mengumumkan melepaskan jawatan sebagai Ketua Penerangan Bersatu selepas berdepan pertuduhan menerima rasuah hampir RM7 juta berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Sumber: Astro Awani

PALING POPULAR

To Top