Umum

‘Macam pergi London’ – Zee Avi

PENYANYI dan komposer kelahiran Kuching, Sarawak, Zee Avi berharap pihak bertanggungjawab memberi penjelasan munasabah mengapa harga tiket ke Sabah dan Sarawak sangat mahal pada musim Krismas akan datang.

Zee yang menetap di ibu negara bersama suami, mengakui terpaksa menukar perancangan untuk pulang ke Kuching pada waktu itu.

“Saya ada tengok jadual perjalanan dan tiket ke Eropah dari 23 Dis sehingga 27 Dis, tak ada yang semahal nak balik Sarawak.

“Memang terkejut, ada yang sampai RM2,000 ke atas untuk perjalanan sehala, hampir sama harga dengan tiket penerbangan ke London.

“Saya dan keluarga pun tak dapat balik, walaupun awalnya ada perancangan nak bawa suami balik jumpa keluarga di Kuching.

“Saya harap pihak berwajib dapat beri alasan yang kukuh mengapa tiket penerbangan ke Sarawak sangat mahal,” katanya dalam temu bual bersama media secara maya, pada Jumaat.

Sebelum ini, seorang lagi artis dari Sarawak, Alena Murang, meluahkan kekecewaannya di laman sosial dengan harga tiket ke Sabah dan Sarawak yang disifatkannya terlalu mahal.

“Kalaulah anda tahu berapa banyak air mata yang ditumpahkan rakyat Sarawak kerana tidak dapat pulang ke kampung tahun lepas, bertimbang rasalah,” kata Alena.

Malaysia Airlines sebelum ini ada memaklumkan harga tiket akan berubah mengikut permintaan dan penawaran.

Namun jawapan tersebut tidak memuaskan hati banyak pihak dan berharap pihak yang bertanggungjawab segera menyelesaikan isu ini.

PALING POPULAR

To Top