Umum

Mahkamah tolak permohonan Zahid Hamidi dapatkan pasport

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mendapatkan semula pasport peribadi secara kekal bagi menjalankan tugas rasmi di luar negara.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan dokumen peribadi Presiden UMNO itu dikeluarkan sementara bagi membolehkan beliau membuat permohonan untuk mendapatkan pasport diplomatik.

Collin Lawrence memberitahu, keputusan itu adalah selaras dengan peruntukan undang-undang dan mahkmah bertindak adil dan saksama kepada semua tertuduh.

“Prosiding mahkamah adalah sama bagi semua tertuduh, tidak kira status mereka.

“Maka dengan ini mahkamah memutuskan untuk menolak permohonan tertuduh untuk mendapatkan pasport peribadi secara kekal,” kata beliau, di sini, pada Jumaat.

Hakim Collin Sequerah berkata demikian dalam permohonan Ahmad Zahid untuk mendapatkan semula pasport antarabangsanya secara kekal atas alasan penahanan dokumen perjalanan itu oleh mahkamah telah menghalangnya menjalankan tugasnya.

Collin Lawrence menambah, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu perlu menyerahkan semula pasport peribadi beliau setelah membuat permohonan pasport diplomatik.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa dengan 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang kini dalam peringkat bela diri.

Daripada 47 pertuduhan itu, 12 pertuduhan merupakan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Sumber: Astro Awani

PALING POPULAR

To Top