Umum

Majoriti melayu islam jangan terlalu selesa, angkuh hingga kelompok lain tidak boleh diraikan – Anwar

Kumpulan majoriti Melayu Islam di negara ini diingatkan tidak terlalu selesa dan angkuh dengan menganggap kelompok minoriti lain tidak boleh diraikan untuk hidup bersama dalam sebuah negara.

Menegaskan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan meminggirkan golongan minoriti bukan dianjurkan sebagaimana pengajaran dan pedoman nabi Muhammad SAW melalui perjanjian Madinah.

Katanya, dalam perjanjian itu baginda SAW merangkulkan semua kekuatan kepelbagaian masyarakat asalkan tunduk kepada satu peraturan dan Perlembagaan serta tidak memerangi umat Islam.

Beliau turut mengambil perbandingan dengan negara Kemboja bagaimana sebuah negara majoriti penganut Buddha dapat meraikan dan memberikan penghormatan kepada golongan minoriti 10 peratus umat Islam di sana.

“Ketika lawatan saya ke Kemboja baru-baru ini, saya berbuka puasa bersama Perdana Menteri Kemboja yang menganjurkan majlis iftar dengan 6,000 umat Islam.

Umat Islam di Kemboja hanya 10 peratus, tetapi diberi penghormatan dan saya juga diberi peluang memberi ucapan dan ke masjid di sana.

“Saya sebut bahawa langkah ini menunjukkan negara majoriti penganut buddha memberikan dan meraikan kumpulan minoriti umat Islam dengan menganjurkan iftar dan beberapa ruang termasuk menteri seorang muslim.

Ini sebagai pengajaran kepada kita,” katanya ketika berucap dalam majlis perjumpaan Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Pada 28 Mac lalu, Anwar mengadakan lawatan sehari ke Kemboja antaranya mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Hun Sen dan berpeluang berbuka puasa dengan 6,000 orang Islam di Kemboja dalam majlis yang dihoskan oleh Hun Sen.

Beliau berkesempatan bersolat tarawih dan menyampaikan tazkirah ringkas di Masjid Al-Serkal.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, dalam usaha memastikan kepentingan majoriti Melayu muslim di Malaysia dijaga, pada masa sama prinsip saling menghormati dan meraikan serta memberikan hak kewarganegaraan kepada semua harus dititikberatkan.

Jelasnya, perkara itu menjadi keazaman dan ‘kerja keras’ Kerajaan Perpaduan pimpinan beliau dalam mengemudi sebuah negara berbilang kaum.

“Kalau di Kemboja kita nak umat Islam di sana diraikan, masjid jangan dirobohkan, hak mereka dipertahankan, malah diangkat sebagai menteri untuk mewakili kepentingan mereka.

“Begitulah halnya kepada semua negara lain tanpa mengorbankan kepentingan kelompok majoriti,” katanya.

Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia perlu bersiap sedia dengan semua prasarana, infrastruktur dan sumber tenaga tempatan supaya dapat memanfaatkan sepenuhnya kemasukan pelaburan asing.

Beliau berkata, ini kerana kerancakan pelaburan ke Malaysia semakin pesat berbanding keadaan sebelumnya.

“Saya percaya saudara yang cukup pengalaman dalam pelbagai bidang ini dapat mengenal pasti beberapa langkah yang perlu diambil kerana saya lihat soal pelaburan, kedatangan pelaburan itu kian rancak.

“Mengambil contoh apabila Amazon Web Services (AWS) masuk (melabur di Malaysia), kalau kita hanya tunggu pelaburan, kita tak menyiapkan jentera, kemahiran, pekerjaan, infrastruktur, ia akan menjadi masalah,” katanya. – UTUSAN

PALING POPULAR

To Top