Korea Aerospace Industries Co (KAI), pengeluar tunggal pesawat Korea Selatan memenangi perjanjian pesawat bernilai AS$920 juta (RM4.08 bilion) dari Malaysia dan proses penghantaran pesawat berkenaan dijangka bermula pada 2026.
Agensi berita Yonhap dalam kenyataan melaporkan, KAI memeterai perjanjian dengan Kementerian Pertahanan Malaysia untuk mengeksport 18 pesawat tempur ringan FA-50, sekali gus mengenepikan pesawat jenis Tejas India, JF-17 Pakistan, MIG-35 Russia dan Hurizet Turki.
“Ia adalah kali keempat bagi KAI menandatangani perjanjian pesawat dengan negara rantau Asia Tenggara selepas Indonesia, Filipina dan Thailand.
“Dengan perjanjian terkini, KAI mengeksport 68 pesawat latihan T-50 KT-1 serta pesawat FA-50 ke pasaran Asia Tenggara,” katanya.
Katanya, di peringkat global, KAI memperoleh tawaran untuk membekalkan 222 pesawat tempur ke pelbagai negara termasuk Iraq, Poland, Peru dan Senegal.
“KAI juga menjangka untuk memenangi perjanjian bagi menyediakan 18 lagi pesawat FA-50 kepada Malaysia ketika negara itu merancang untuk meningkatkan bilangan pesawat tenteranya,” katanya.
Katanya, KAI menyasarkan untuk mengembangkan eksport pesawatnya ke Timur Tengah, Afrika, Australia, Amerika Syarikat dan pasaran lain. – BERNAMA