Umum

Tiba masa Anwar beri Ahli Parlimen dana sama rata – Bersih

Pemantau pilihan raya, Bersih mengkritik Perdana Menteri, Anwar Ibrahim langsung tidak menyentuh peruntukan pembangunan kawasan (CDF) untuk wakil rakyat pembangkang dalam Belanjawan 2023.

Kumpulan itu berkata, tiba masanya kerajaan memberi peruntukan sama rata kepada Ahli Parlimen pembangkang, seperti dijanjikan Pakatan Harapan pada PRU15.

Bersih menyarankan undang-undang berhubung CDF untuk semua Ahli Parlimen berdasarkan rumusan saksama digubal bagi menggantikan amalan berasaskan budi bicara perdana menteri.

“Perkara ini dikesali kerana Anwar terlepas peluang menunjukkan sisi reformisnya dan bagaimana Malaysia Madani akan dilihat.

“Kerajaan dan pembangkang perlu duduk bersama untuk membawa undang-undang memastikan peruntukan yang saksama,” katanya dalam kenyataan.

Belanjawan 2023 yang dibentangkan semalam berjumlah RM388.1 bilion, dengan anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM289.1 bilion dan RM99 bilion untuk pembangunan.

Bersih berkata, tiada CDF seolah-olah menunjukkan kerajaan tidak menghormati 30% atau 4.6 juta pengundi yang memilih 74 Ahli Parlimen pembangkang.

Ini kerana, katanya, peruntukan itu diperlukan wakil rakyat untuk berkhidmat kepada masyarakat, selain menampung keperluan pembangunan yang tidak termasuk dalam program kerajaan.

“Berdasarkan apa yang diberikan kepada 148 Ahli Parlimen dalam kerajaan perpaduan, iaitu RM1.3 juta setahun, kos yang bertambah hanyalah RM96.2 juta atau hanya 0.024% daripada (keseluruhan peruntukan) belanjawan.

“Ini hanyalah secubit daripada belanjawan berbanding manfaat yang akan melimpah kepada rakyat.”

Bersih menyarankan ketua pembangkang, Hamzah Zainudin membentangkan rang undang-undang persendirian, jika perdana menteri tidak mengambil langkah memastikan peruntukan sama rata untuk semua Ahli Parlimen.

“Perikatan Nasional yang meneruskan amalan tidak demokratik pada Mac 2020 hingga Ogos 2021 juga mempunyai tanggungjawab moral untuk membuktikan kini mereka bertekad untuk keadilan.”

Sumber: FMT

PALING POPULAR

To Top