Umum

Malaysia terima 13.8 juta dos vaksin sepanjang Julai

Malaysia dijangka menerima sekurang-kurangnya 13.8 juta dos vaksin sepanjang bulan ini.

Daripada jumlah itu, termasuk 500,000 dos vaksin Sinovac yang disumbangkan oleh kerajaan China pada pertengahan bulan Julai.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, penghantaran baki daripada 12 juta dos vaksin Sinovac akan turut diselesaikan kepada Malaysia pada bulan ini.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi turut memaklumkan, sebanyak lebih 5.42 juta lagi dos vaksin Pfizer BioNTech turut dihantar secara perolehan terus pada bulan sama.

“Sumbangan ini termasuk apa yang kita terima dari Amerika Syarikat (AS), bekalan yang tiba hari ini iaitu 1,000,350 dos, jadi jumlah keseluruhan ialah 6,429,150 dos. Selain sumbangan AstraZeneca (AZ) oleh Jepun (satu juta dos), kita juga memperolehi 586,700 melalui perolehan kerajaan Malasyia yang telah dibuat oleh AZ.

“Baki penghantaran Sinovac akan diselesaikan pada bulan ini dan kesemua 12 juta dos akan selesai dihantar pada Julai. Pada bulan Ogos dan seterusnya, vaksin dibawah PICK yang akan digunakan adalah Pfizer dan AZ,” katanya dalam sidang media mingguan, di sini hari ini.

    TERKINI] Sidang media Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK)

Turut hadir di sidang media mingguan itu ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Mengulas lanjut, Khairy berkata kadar vaksinasi negara juga terus konsisten dengan sasaran harian pada Julai iaitu sebanyak 300,000 dos sehari.

Beliau turut berkata, purata pemberian suntikan vaksin yang tinggi direkodkan pada minggu lepas antara 28 Jun hingga 4 Julai iaitu sebanyak 230,115 dos sehari.

“Seperti yang saya sebut sebelum ini, kadar purata vaksinasi pada bulan Jun secara keseluruhan mencecah hampir 170,000 setiap hari melepasi sasaran 150,000.

“Sehingga sekarang, seramai 27.3 peratus daripada populasi dewasa Malaysia (18 tahun ke atas) telah menerima sekruang-kurangnya satu dos vaksinasi dan 11.2 peratus telah lengkap divaksinasi,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Khairy berkata enam negeri telah memasuki fasa ketiga PICK iaitu Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan), Melaka, Pulau Pinang, Sarawak, Selangor dan Perlis.

Jelas Khairy, keenam negeri berkenaan telah merekodkan sekurang-kurangnya 80 peratus vaksinasi kepada golongan warga emas yang berdaftar.

PALING POPULAR

To Top