Sports

Maloney bangga pasukan B-23 raih tiket ke Piala Asia dengan rekod tanpa kalah

Ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun kebangsaan (B-23) Brad Maloney bangga dengan kejayaan anak buahnya yang berjaya menempah tiket ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022, iaitu kali kedua selepas edisi 2018.

Lebih membanggakan, skuad bimbingan jurulatih kelahiran Australia itu mengungguli Kumpulan J pada perlawanan kelayakan berlangsung di Ulaanbaatar, Mongolia dengan rekod tanpa kalah dan langsung tidak dibolosi.

“Pencapaian menakjubkan daripada para pemain, saya mempunyai kepercayaan luar biasa terhadap pasukan ini. Mereka beraksi dengan sangat mantap dan profesional sepanjang kejohanan ini.

“Kami tidak dibolosi walaupun satu gol dalam keseluruhan perlawanan dan ia sama juga hari ini. Sudah tentu saya amat berbangga dengan pasukan ini,” katanya pada sidang media selepas perlawanan menentang Thailand yang berkesudahan seri tanpa jaringan di Stadium Persekutuan Bola Sepak Mongolia (MFF) pada Ahad.

Video sidang media diperoleh daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Malaysia menamatkan saingan kelayakan menghuni tangga teratas Kumpulan J dengan mengumpul tujuh mata selepas meraih kemenangan ke atas Laos dan Mongolia masing-masing keputusan 1-0 sebelum seri 0-0 dengan Thailand pada Ahad.

Thailand di tangga kedua dengan lima mata, diikuti Laos (tiga) dan Mongolia (satu).

Sebanyak 16 pasukan akan berentap pada pusingan akhir kejohanan yang memasuki edisi kelima, dijadual berlangsung pada 1-19 Jun tahun depan di Uzbekistan.

Mengulas mengenai persiapan pasukan sebelum ini, Maloney berkata skuad negara berdepan pelbagai cabaran dan beberapa kali terpaksa menukar perancangan susulan pandemik COVID-19.

“Kita mempunyai pelbagai perancangan pada awalnya, tapi disebabkan pandemik, kebanyakan rancangan terpaksa ditukar dan kita perlu ubah. Kita hanya ada dua minggu persediaan sebelum ke Mongolia.

“Kita juga pasukan terakhir tiba di sini… ketika tiba, kita terus memulakan misi, bermain habis-habisan dan capai apa yang kita hendak capai,” katanya sambil berterima kasih kepada MFF kerana menganjurkan pusingan kelayakan itu meskipun berdepan cabaran akibat pandemik.

Sejak edisi sulung pada 2013, Malaysia pernah sekali layak ke pusingan akhir pada 2018 di China, yang mana ketika itu skuad kebangsaan di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee mara ke suku akhir sebelum tewas 2-1 kepada Korea Selatan.

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top