Umum

Manifesto PN rangkumi semua perkara dijanji dan dilaksana: Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, manifesto pilihan raya Perikatan Nasional (PN) akan merangkumi semua bidang dan perkara penting yang akan dijanji dan dilaksana kepada rakyat untuk tempoh lima tahun.

Pengerusi PN itu menjelaskan, penyediaan manifesto itu akan mengambil kira situasi dan keadaan selepas pandemik dan masalah ekonomi yang agak merosot serta bantuan prihatin untuk rakyat miskin.

Beliau berkata, itu antara perkara yang PN akan ambil pertimbangan selain dari perkara lain.

“Kita sudah ada jawatankuasa dan jawatankuasa ini akan menyiapkan kerangka perkara-perkara yang pokok dan akan kita sediakan dalam tawaran kita buat kepada rakyat untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15),” katanya kepada media malam tadi.

Terdahulu beliau menyampaikan watikah pelantikan ketua-ketua pilihan raya bagi PN Selangor.

Muhyiddin berkata, beliau masih menunggu kesediaan jawatankuasa manifesto berkenaan membentangkan Manifesto PN kepada jawatankuasa induk gabungan berkenaan.

“Jawatankuasa (manifesto) sudah sedia tapi saya menunggu bila mereka akan bentangkan pada jawatankuasa induk PN,” katanya.

Pada ucapan semasa majlis pemberian watikah pelantikan ketua-ketua pilihan raya Parlimen Selangor malam tadi, Muhyiddin memaklumkan manifesto PN akan diumumkan setelah PRU-15 diadakan.

Mengenai pemberian watikah itu, Muhyiddin memberitahu, ia dibuat bagi memudahkan urusan jentera parti dan setiap pihak tahu akan tanggungjawab masing-masing.

Namun beliau menambah, buat masa ini, isu rundingan kerusi masih belum diselesaikan dan akan diselesaikan semasa peringkat rundingan kerusi dalam masa terdekat.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top