14 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan oleh Maritim Negeri Selangor pada kedudukan sekitar 0.91 batu nautika barat daya Pantai Kelanang, Selangor kerana cuba menyeludup keluar secara haram dari Malaysia awal pagi semalam.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Selangor, Mohd Sharenliza bin Ghazali berkata, berdasarkan maklumat risikan yang diterima dan panduan dari Area Control Centre (ACC) SWASLA Klang, satu vesel dalam keadaan mencurigakan telah dikesan di Perairan Tanjung Tongkah.
Maritim Malaysia Negeri Selangor telah mengatur gerak sebuah bot ronda bagi memintas vesel tersebut. Apabila kehadiran pihak berkuasa disedari, bot terbabit cuba meloloskan diri dan berlaku adegan kejar mengejar hampir 20 minit. Beberapa orang bertindak terjun ke laut melarikan diri ke hutan bakau Pantai Kelanang sebelum bot berjaya ditahan pada jam 11.10 malam.
Hasil pemeriksaan awal mendapati, bot fiber bewarna biru hitam tanpa nombor pendaftaran itu terdapat 9 penumpang perempuan Indonesia, tiga lelaki Pakistan dan dua lelaki Indonesia dalam lingkungan umur 27 hingga 50 tahun tanpa memiliki dokumen perjalanan yang sah. Bot dan kesemua PATI dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk siasatan lanjut.
Hasil pemeriksaan lanjut di Jeti PPM, menemukan dua beg di dalam bot yang tidak diambil oleh PATI di mana beg itu mengandungi lapan bungkusan mampat serbuk kristal bewarna putih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat lebih kurang 9 kilogram. Bungkusan itu diserahkan kepada pengawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Menurut salah seorang PATI, bayaran yang dikenakan untuk satu perjalanan menyeludup keluar dengan cara ini dianggarkan sebanyak RM1,700 sekepala dan mereka dikatakan hendak menuju ke Medan dan Dumai, Indonesia.
Kes ini disiasat di bawah Akta Imigresen 1953/63 kerana masuk dan keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan, Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 kerana membawa masuk atau keluar PATI dan Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sumber: Maritim Malaysia