MAS menyasarkan pemulihan sepenuhnya perkhidmatan hidangan makanan dalam penerbangan sekitar pertengahan November tahun ini.
Pengembalian semula perkhidmatan makanan panas di laluan domestik dan antarabangsanya yang terjejas akibat peralihan katering baru-baru ini dapat dipulihkan dengan penerimaan 10 trak lif tinggi baharu lebih awal daripada dijadualkan.
Trak lif tinggi merupakan komponen penting dalam proses hidangan makanan dalam pesawat dengan memastikan standard kualiti dan keselamatan makanan terjamin.
Ia akan memastikan bahawa troli makanan berada pada suhu yang betul, mengekalkan kesegaran makanan panas, di samping mengekalkan amalan ketat sepanjang proses.
Semasa ketiadaan lif tinggi, MAS telah menangguhkan sementara hidangan makanan panas untuk memastikan keselamatan makanan tidak terjejas.
MAS telah memperkenalkan semula hidangan panas ringkas untuk penumpang Kelas Perniagaan di laluan Bangkok dan Denpasar mulai 11 September lalu.
Penumpang Kelas Perniagaan yang menuju ke semua sektor Asia Selatan juga akan menikmati sate Malaysia Airlines yang terkenal, sementara bandar-bandar ASEAN lain akan disajikan dengan hidangan panas secara berperingkat.
Sementara itu, penumpang yang melaksanakan perjalanan ke destinasi Asia Selatan, Asia Utara dan Australia yang lain akan terus menerima makanan panas di atas kapal.
Pada 1 September lalu, MAS telah memperkenalkan tawaran makanan dalam penerbangan yang disemak semula pada laluan yang sebelum ini disediakan oleh bekas penyedia kateringnya.
Ia termasuk kacang tanah dan minuman khas, minuman dalam kotak sedia untuk dibawa dengan pastri, coklat, biskut dan minuman yang siap dibungkus atau makanan panas dalam bekas pakai buang.
Perkhidmatan makanan pada laluan London, Auckland, Jeddah, Madinah, Osaka dan Haneda kekal tidak terjejas.
MAS telah menubuhkan pusat pengedaran sementara di KLIA, untuk menguruskan pengumpulan barangan makanan dan minuman oleh pembekal masing-masing dan mengangkat kotak makanan ke pesawat melalui trak lif tinggi.
Pusat operasi tersebut mengikuti piawaian yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan diperakui oleh pihak berkuasa kesihatan tempatan untuk kebersihan dan persekitaran menepati piawaian keselamatan dan kebersihan makanan.
Kontrak katering yang lama antara MAB dan Brahim’s Food Services (BFS) berakhir pada 31 Ogos 2023 selepas rundingan antara kedua-dua pihak sejak akhir tahun 2022 tidak dapat mencapai perjanjian yang baik.