Kesihatan

2 produk komestik dibatal notifikasi oleh KKM

Bahagian Regulatori Farmas Negara (NPRA) menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan 2 produk komestik yang telah dikesan mengandungi racun berjadual.

2 produk tersebut adalah ‘Beaute Treatment Cream’ dan ‘Beaute Nite Cream’. Notifikasi kedua-dua produk tersebut telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan (KKM) kerana dikesan mengandungi racun berjadual dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata produk Beaute Treatment Cream dikesan mengandungi racun berjadual jenis Hidroquinone, Tretinoin dan Betamethasone 17-Valerate, manakala Beaute Nite Cream dikesan mengandungi racun berjadual jenis Merkuri dan Betamethasone 17-valerate.

Beliau berkata merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan. Ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang serta sistem saraf. Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau bayi yang elum dilahirkan. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.

Dr Muhammad Radzi berkata produk yang mengandungi Hidroquinone, Tretinoin dan Betamethasone 17- Valerate adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

“Penggunaan produk yang mengandungi bahan-bahan tersebut tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini,” katanya lagi.

Beliau berkata Hidroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV berbahaya dan meningkatkan risiko kanser kulit.

Tretinoin pula boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

Dan Betamethasone 17-Valerate menyebabkan kulit muka menjadi nipis dan mudah iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi dan meningkatkan risiko diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh memudaratkan.

Dr Muhammad Radzi menyarankan agar penjual dan pengedar produk kosmetik itu menghentikan aktiviti tersebut dengan serta-merta kerana ia melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Tambahnya lagi, individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan itu boleh dikenakan denda tidak lebih RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama, dan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Bagi syarikat pula boleh dikenakan denda hingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda hingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

“Orang awam yang menggunakan produk kosmetik itu dinasihatkan segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers,” katanya.

Beliau menggalakan orang awam untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik di laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun Google Play Store.

PALING POPULAR

To Top