BAHANG pilihan raya negeri (PRN) enam negeri di Semenanjung Malaysia sudah pun melabuhkan tirai. Pengundi sudah membuat pilihan masing-masing dan kini masa wakil rakyat yang dipilih mula melaksanakan amanah dan tanggungjawab diberikan rakyat.
Sepanjang kempen dua minggu lalu, suasana di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan nampaknya meriah dengan bendera-bendera pelbagai parti politik. Kini selepas pengundian selesai, semua calon yang bertanding mempunyai masa 14 hari lagi untuk membersihkan semua bahan-bahan kempen termasuk bendera.
Namun, di sebalik bendera-bendera parti yang masih berkibar di kawasan-kawasan perumahan dan tempat awam, tidak pula kelihatan bendera Malaysia berkibar megah.
Mungkin kita lupa bahawa kita sedang berada di bulan Ogos. Bulan sambutan kemerdekaan negara. Ya, memang masih banyak lagi masa untuk menuju 31 Ogos, tapi itu tidak sepatutnya dijadikan alasan sehingga melupakan sambutan hari penting dalam sejarah negara ini.
Walaupun sambutan Hari Kebangsaan berbaki lebih kurang 20 hari lagi, tanpa kita sedar, tahap kepedulian masyarakat terhadap ulang tahun kemerdekaan ke-66 pada tahun ini sedikit mengecewakan kerana kemeriahan yang sepatutnya dirasai seawal 1 Ogos lalu tidak berlaku.
Malah, tumpuan masyarakat lebih terarah kepada situasi politik, perbincangan tidak formal mengenai kepemimpinan negara, pembinaan stigma mengenai pertukaran kerajaan, rasuah serta salah guna kuasa.
Manakan tidak, isu-isu berkenaan rancak dibualkan dalam laman media sosial, menjadi tajuk utama di dada akhbar, portal berita, malah menjadi bualan masyarakat tatkala menghirup segelas kopi bersama rakan-rakan.
Mungkin ada sesetengah individu yang peduli tentang hari bersejarah negara tetapi ibaratnya boleh dibilang dengan jari berapa banyak kepedulian itu disuarakan, seolah-olah ia hanya tajuk kurang penting untuk dibincangkan.
Sumber: Sinar Harian