Umum

PAS: Calon MB, TMB Kelantan gabungan Adun berpengalaman

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan memberi gambaran kerajaan Kelantan akan diterajui gabungan baru Adun yang berpengalaman untuk diangkat sebagai menteri besar dan timbalan menteri besar.

Begaimanapun Takiyuddin menegaskan keputusan muktamad adalah hak prerogatif sultan Kelantan bagi menentukan nama menteri besar negeri itu.

Ditanya sama ada calon berkenaan pernah menjadi exco sebelum ini, dia tidak menolak kemungkinan itu.

“Gabungan (menteri besar dan timbalan) ini gabungan baru, tidak gabungan sekarang, tidaklah terlalu berusia.

Perbincangan berjalan lancar tak ada masalah, dan keputusan dipersetujui oleh PAS Kelantan.

“Ada dua nama untuk gabungan itu. Boleh jadi (bekas exco), ia mestilah orang yang ada pengalaman. Saya tak tahu akan diangkat satu atau dua nama,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri mesyuarat antara kepimpinan PAS Pusat dan PAS Kelantan di Kota Bharu, malam tadi.

Turut hadir Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Pesuruhjaya PAS Kelantan Ahmad Yakob.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan Ahmad mengesahkan perbincangan mengenai calon menteri besar Kelantan sudah selesai dan pihaknya akan mempersembahkan nama tersebut kepada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, hari ini.

Selain itu majlis angkat sumpah menteri besar baru dijadualkan berlangsung pada jam tiga petang esok.

PAS melalui gabungan PN meraih kemenangan bergaya di 43 daripada 45 kerusi DUN dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabtu lalu.

Pembangkang pula hanya meraih dua kerusi iaitu DUN Kota Lama yang dimenangani calon PH dan DUN Galas oleh BN.

Sumber: MalaysiaKini

PALING POPULAR

To Top