Umum

MBPG kuatkuasa larangan meletak kenderaan hadapan rumah 1 Januari 2024

Gambar Hiasan

Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) telah menyatakan bahawa ia akan menguatkuasakan larangan meletak kenderaan di hadapan rumah bermula 1 Januari 2024.

Datuk Bandar Pasir Gudang, Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata, perkara itu sudah diputuskan menerusi mesyuarat khas MBPG pada hari Rabu lalu.

Beliau berkata, pada dasarnya semua ahli majlis bersetuju dan menerima kertas dasar pelaksanaan itu yang akan dikuatkuasakan pada 1 Januari 2024.

Menurut laporan di Harian Metro, Asman ketika dihubungi pada hari Isnin berkata “mulai sekarang hingga 31 Disember ini adalah proses kesedaran dan pendidikan kepada semua pihak dengan cara pengeluaran notis pemberitahuan sahaja kepada yang terbabit.”

Terdahulu, telah tular di media satu notis pemberitahuan daripada MBPG yang menyatakan larangan meletakkan kenderaan di hadapan rumah (luar pagar) yang boleh menyebabkan halangan di tempat awam.

Dikatakan, MBPG telah menerima 349 aduan kenderaan menghalang laluan depan rumah dari awal tahun sehingga bulan lalu, menyebabkan penguatkuasaan secara berfasa itu dilakukan demi menjaga keharmonian masyarakat.

Kompaun yang akan dikeluarkan menerusi peruntukan mengikut Undang-Undang Kecil, Jalan, Parit dan Bangunan MBPG tidak akan terus dikeluarkan kepada penduduk kerana siasatan akan dilakukan terlebih dahulu.

“Kita akan lakukan siasatan dengan berjumpa pengadu dan pemilik kereta. Notis akan diberikan kepada pemilik kenderaan yang menghalang laluan.

“Notis itu diberi tempoh sehingga 21 hari untuk pemilik kereta mengambil tindakan penambahbaikkan.

“Selepas itu, sekiranya tiada tindakan pemulihan MBPG akan kompaun RM100 hingga maksimum RM2,000 bagi kesalahan berulang,” katanya

PALING POPULAR

To Top