Umum

Melaka Pertimbang Larangan Penjualan Vape Demi Kesihatan Awam

Gambar Hiasan

Kerajaan Negeri Melaka kini sedang meneliti cadangan untuk melarang penjualan rokok elektronik atau vape di negeri ini, dan perkara tersebut dijangka dibincangkan secara lebih mendalam dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) yang akan datang.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem, memaklumkan bahawa langkah ini mencerminkan komitmen serius kerajaan negeri dalam melindungi kesihatan awam, khususnya berikutan peningkatan kes berkaitan penyakit paru-paru yang dikaitkan dengan penggunaan vape, seperti yang direkodkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka kebelakangan ini.

“Kita lihat semakin banyak kes melibatkan masalah kesihatan akibat penggunaan vape. Oleh itu, isu ini wajar dibawa ke mesyuarat MMKN bagi membolehkan satu keputusan yang tuntas dibuat mengenai penjualannya,” katanya kepada media selepas merasmikan sambutan Hari Tibi Sedunia peringkat negeri dan program Kembara Wellness On Wheel di Dewan Japerun Sungai Udang, sempena inisiatif Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Sungai Udang.

Majlis itu turut dihadiri oleh Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Penyelaras DUN Sungai Udang, Rais Yasin serta Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Ruzita Mustaffa.

Dalam pada itu, Rais memaklumkan bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) akan melaksanakan keputusan yang bakal diputuskan oleh MMKN berhubung penjualan vape.

“Kita akan melihat cadangan yang bakal dibentangkan oleh JKN Melaka dalam mesyuarat tersebut. Sekiranya diputuskan untuk mengharamkan penjualan vape, PBT akan mengambil langkah sewajarnya,” jelasnya.

Menurut beliau, permohonan bagi mendapatkan lesen penjualan vape di Melaka pada masa ini menunjukkan jumlah yang agak tinggi. Namun begitu, kebimbangan utama adalah terhadap peniaga yang menyalahgunakan lesen menjual barangan elektronik untuk menjual produk vape secara terselindung.

“Jika ada keputusan untuk mengharamkan penjualan, ia akan memudahkan dari sudut penguatkuasaan. Masalah utama adalah mereka yang beroperasi di bawah lesen berlainan tetapi menjual vape,” katanya lagi.

Tambahnya, sokongan daripada kerajaan Persekutuan amat diperlukan, khususnya dalam menyelaraskan dasar larangan atau pengawalan vape di peringkat nasional.

“Kita akan pertimbangkan semua aspek termasuk kepentingan usahawan, tetapi yang paling utama ialah memastikan kesihatan dan keselamatan masyarakat tetap diutamakan. Matlamat kita adalah mencari penyelesaian yang adil kepada semua pihak,” jelas Rais.

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top