Umum

Ibu simbah air panas terhadap anak kerana habiskan data Internet

MELAKA: Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini, atas pertuduhan menyimbah air panas terhadap anak kandungannya, tahun lalu.

Tertuduh berusia 37 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang remaja lelaki berusia 13 tahun dengan cara menyimbah air panas ke arah mangsa.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh kira-kira jam 2.56 pagi di sebuah rumah di Sungai Udang, pada 27 Jun 2022.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326 A kanun sama yang memperuntukkan hukuman sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.

Terdahulu, prosiding pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Nazrin Ali Rahim, memohon supaya jaminan tidak diberikan dengan mengambil kira faktor tertuduh tinggal bersama mangsa di rumah sama selain dia tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Difahamkan, kejadian berpunca apabila tertuduh berang dengan mangsa yang juga anak keduanya kerana menghabiskan data Internet telefon bimbitnya.

Sumber: Buletin TV3

PALING POPULAR

To Top