Buletin

Memasuki gerbang endemik: Terima kasih Muhyiddin!

PASTINYA ramai rakyat Malaysia tersentuh hati, bahkan hingga mengalir air mata, melihat suasana pembukaan sempadan di Tambak Johor tengah malam tadi. Penulis yang menyaksikan dalam kaca televisyen pun sebak, apatah lagi ahli keluarga yang sudah menunggu lebih dua tahun.

Apa yang berlaku tengah malam tadi adalah sejarah. Tepat pukul 12 tengah malam Malaysia memasuki fasa endemik. Dari Woodlands, Singapura – ada rakyat Malaysia menaiki kereta dan motosikal, tetapi majoriti sanggup berjalan kaki menyeberang Tambak Johor untuk pulang ke tanah air.

Bagi rakyat inilah masa yang ditunggu-tunggu kerana dengan peralihan ke fasa endemik, rakyat akan kembali kepada gaya hidup normal mereka, walaupun dalam norma baharu iaitu perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka, menjaga jarak fizikal dan menggunakan cecair pembasmi kuman.

Dari sudut ekonomi, pembukaan sempadan negara ini merupakan satu keputusan yang cukup penting kerana ia merupakan jawapan paling tepat untuk memulihkan pembangunan sosial dan ekonomi Malaysia.

Sektor perdagangan, perniagaan, pelancongan, perhotelan dan banyak lagi diyakini akan mencatatkan pemulihan yang pantas susulan langkah peralihan ke fasa endemik dan pembukaan sempadan negara ini.

Namun, harus kita semua sedar bahawa keputusan tepat kerajaan pada hari ini tidak mungkin dapat dilaksanakan jika tiada batu asas kukuh dibuat kepimpinan terdahulu. Malaysia dapat memasuki fasa endemik kerana Perdana Menteri Kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah meletakkan asas yang betul dalam berhadapan dan melawan COVID-19.

Kunci utamanya adalah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancarkan pada 24 Februari 2021. Hari ini sudah hampir 100 peratus populasi dewasa rakyat Malaysia yang menerima dua dos vaksin lengkap manakala sehingga 30 Mac 2022 lalu, lebih 1.3 juta atau 37.3 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah menerima dos pertama vaksin menerusi program PICKids.

Keputusan berani dan tepat yang dibuat Muhyiddin berkenaan PICK walaupun dalam tempoh pentadbiran yang singkat telah memungkin Malaysia hari ini muncul antara negara penerima vaksin tertinggi di dunia, sekali gus membenarkan peralihan dari fasa pendemik ke fasa endemik.

Selain program PICK,  dukungan lapan pakej rangsangan ekonomi berjumlah lebih RM530 bilion yang diperkenalkan Muhyiddin memberi manfaat besar kepada lebih 20 juta rakyat semasa pentadbiran Muhyiddin.  Ketika itu rakyat berhadapan dengan kesukaran hidup akibat pelaksanaan Perintah kawalan Pergerakan (PKP) yang mengakibatkan semua sektor kehidupan terutama aktiviti ekonomi dan perdagangan ditutup.

Pelbagai bentuk bantuan yang diberikan kerajaan ketika itu seperti Prihatin, Prihatin PKS Tambahan, Penjana, Kita Prihatin, Permai, Pemerkasa, Pemerkasa Tambahan dan Pemulih banyak membantu rakyat sama terutama golongan miskin, B40, M40, golongan peniaga atau penjaja kecil mahukan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Semua ini dilaksanakan semata-mata untuk satu tujuan murni iaitu memastikan kehidupan dan kebajikan rakyat sentiasa terbela.

Suka atau tidak, inilah fakta yang perlu diterima oleh semua pihak.

Mungkin bagi musuh politik, asas pemulihan kukuh yang dilaksanakan oleh Muhyiddin ini pastinya tidak akan disebut. Bahkan, tidak mustahil jika selepas ini ada pihak yang cuba menuding jari menuduh Muhyiddin cuba mengambil kredit politik – tetapi kepada yang terlupa, elok juga direnung kembali apa yang dikatakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahalan dalam rakaman audio semasa Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO tidak lama dahulu.

Kata Abdul Rahman Dahlan, pemulihan COVID-19 tidak akan menguntungkan UMNO, sebaliknya yang mendapat kredit adalah Muhyiddin Yassin.

“Tetapi bila kes COVID menurun, kita juga akan rugi, sebab kita tidak akan dapat kredit, yang claim kredit ialah Perdana Menteri (Muhyiddin). Saya khuatir bila keadaan sudah reda dan ekonomi meningkat, apa akan jadi kepada UMNO?”

Sebenarnya, rakyat Malaysia harus juga berterima kasih kepada Abdul Rahman Dahlan kerana Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu tidak lupa untuk menyatakan sesuatu yang benar, walaupun naratifnya mungkin sedikit berbaur politik.

Terima kasih Muhyiddin, terima kasih kerajaan Perikatan Nasional!

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SatuBerita. 

Sumber: Satu Berita

PALING POPULAR

To Top