Umum

Meninggal dunia sebelum sempat ambil daging korban

Seorang lelaki tidak sempat mengambil agihan daging korban di Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Masjid Tanah Melaka selepas tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, pihaknya menerima laporan berhubung keadaan seorang penerima daging korban, Abd Malik Bakar, 55, yang tidak sedarkan diri pada jam 11.05 pagi.

“Semakan lanjut mendapati terdapat majlis agihan daging korban anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang turut sama dihadiri Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

“Ketika majlis berlangsung, nama lelaki berkenaan telah dipanggil tetapi tiada sahutan. Seterusnya penganjur mendapati dia telah tidak sedarkan diri lalu dibaringkan di atas sofa,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, pegawai khas kepada Ahli Parlimen Masjid Tanah telah menghubungi pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mendapatkan rawatan awal.

“Setengah jam kemudian, ambulans dari Klinik Kesihatan Kuala Sungai Baru sampai ke lokasi dan pemeriksaan dijalankan mendapati lelaki tersebut telah meninggal dunia,” katanya.

Tambah Arshad, bedah siasat dijalankan bagi mengetahui sebab kematian lelaki berkenaan.

” Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Artikel asal di Sinar Harian.

PALING POPULAR

To Top