Mahkamah Sesyen Selayang mengenakan hukuman denda RM30,000 ke atas seorang pemilik stesen minyak kerana menjual barang kawalan berjadual RON95 kepada sebuah kenderaan bernombor pendaftaran Thailand tiga bulan lalu.
Hakim Nor Rajiah Mat Zin menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohammad Naziruddin Abu Hassan, 61, yang mengaku bersalah atas pertuduhan itu.
Naziruddin didakwa sebagai pemegang lesen runcit barang kawalan berjadual, iaitu petrol dan diesel gagal mematuhi arahan pengawal bekalan dengan menjual 48.78 liter RON95 kepada kenderaan itu yang melanggar Peraturan 12A Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah stesen minyak di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya Utara Selatan (arah utara) di Rawang pada 9.16 pagi 1 Januari lalu.
Pertuduhan dilakukan mengikut Peraturan 21(1) Peraturan-peraturan sama dan boleh dihukum bawah Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 memperuntukkan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, dan kesalahan kedua atau seterusnya boleh didenda sehingga RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Siti Fatimah Hannah Abd Wahab dan Pegawai Pendakwa KPDN, Nor Wahidah Muhammad, manakala Naziruddin diwakili peguam Muhammad Syahmi Akif Jamili