Umum

Messi, Alvarez bawa Argentina ke final

Lionel Messi mahu rakan sepasukannya ‘menikmati’ kejayaan mereka selepas Argentina menewaskan Croatia 3-0, hari ini untuk mara ke pentas final Piala Dunia menentang sama ada Perancis atau Maghribi.

Messi yang juga pemenang tujuh kali Ballon d’Or, meletakkan Argentina di depan menerusi sepakan penalti minit ke-34 sebelum Julian Alvarez meledak dua gol masing-masing minit ke-39 dan 69 di Stadium Lusail di mana aksi final akan berlangsung di venue sama.

“Argentina sekali lagi di final Piala Dunia. Raikannya! Kami mengharungi situasi yang sukar, tidak kurang juga detik gembira.

“Hari ini kami melalui sesuatu yang amat menakjubkan,” kata Messi selepas tamat perlawanan.

Lima gol yang dijaringkan Messi setakat ini bermakna dia mengatasi rekod Gabriel Batistuta sebagai penjaring terbanyak Argentina di Piala Dunia dengan 11 gol.

“Saya menikmati kejayaan ini dengan semua penyokong di Qatar dan penyokong di Argentina. Saya dapat rasakan suasana di sana pasti luar biasa,” katanya.

Argentina tiba di Qatar sebagai antara pasukan pilihan tetapi kemampuan mereka mula diragui selepas tewas 1-2 kepada Arab Saudi pada aksi pembukaan peringkat kumpulan.

“Kami tahu apa yang boleh kami lakukan, kami sentiasa mempunyai keyakinan tinggi.

“Kami tahu bahawa kami bukanlah pasukan pilihan tetapi tiada yang memberikan laluan mudah kepada kami. Kami berhak mendapat segala yang diraih ini,” kata penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu.

Alvarez, yang memulakan saingan kali ini di bangku simpanan tetapi kini sudah menjaringkan empat gol dalam empat perlawanan berkata, mereka berhak untuk meraih kemenangan itu.

Sementara itu pemain tengah, Rodrigo De Paul berkata, kejayaan Argentina memenangi Copa America tahun lalu ketika mereka menewaskan Brazil 1-0 di pentas final menambah keyakinan bahawa mereka juga mampu meraih kejayaan di Qatar.

“Keyakinan kami semakin meningkat selepas memenangi Copa America. Pasukan ini menunjukkan kemampuannya,” katanya.

Argentina tidak tewas sepanjang 36 perlawanan sebelum tiba di Doha.

Sumber: Harian Metro

PALING POPULAR

To Top