Umum

Mindef tidak utamakan kepentingan, pandangan TLDM – JKSTUPKK

Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) berhubung projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) mendapati Kementerian Pertahanan (Mindef) tidak mengutamakan kepentingan dan pandangan pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

JKSTUPKK menerusi laporan siasatan yang dinyahklasifikasikan hari ini memaklumkan Mindef lebih cenderung dengan saranan daripada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

Laporan itu mendedahkan kaedah penetapan pemilihan reka bentuk, Sistem Pengurusan Tempur (CMS) dan sebahagian peralatan utama adalah berdasarkan kepada syor dan pandangan BNS.

“Keputusan tersebut tidak memihak kepada TLDM selaku pengguna akhir yang sewajarnya lebih arif dalam menentukan peralatan yang dipilih menepati spesifikasi dan keperluan operasi,” menurut laporan itu.

Selain itu, Jawatankuasa Siasatan berpendapat rundingan harga yang diadakan berdasarkan tawaran BNS adalah tidak realistik kerana BNS menawarkan harga perolehan projek dalam tempoh selang sehari iaitu pada 15 dan 16 Okt 2012 dengan perbezaan sebanyak RM224.59 juta.

“Walaupun tawaran harga pertama telah dirundingkan kepada RM9.472 bilion, BNS telah menawarkan harga yang kedua melebihi daripada harga yang telah dirundingkan iaitu RM10.300 bilion.

“Proses rundingan harga berlarutan sehingga sembilan bulan untuk dimuktamadkan bagi mendapatkan kelulusan MOF. Ini kerana kesukaran untuk mendapatkan persetujuan bersama antara Mindef dan BNS di mana akhirnya elemen Integrated Logistic Support dikeluarkan daripada skop kontrak kecuali on board spares, FONS, dokumentasi dan latihan,” menurut laporan itu.

Sementara itu, Jawatankuasa Siasatan turut mendapati penetapan berkenaan Liquidated Damages (LD) (ganti rugi jumlah tertentu) sehingga maksimum 12 bulan merugikan kerajaan kerana tuntutan LD tidak boleh dikuatkuasakan bagi kelewatan melebihi 12 bulan.

“Ini jelas menunjukkan peruntukan syarat berhubung LD ini telah tidak menjaga kepentingan kerajaan dan malahan kelak akan menyebabkan kehilangan hasil negara bagi kelewatan penyerahan kapal melebihi 12 bulan.

“Sehingga sekarang LCS1 telah mengalami kelewatan sebanyak tiga bulan dari tarikh penyerahan yang ditetapkan iaitu April 2019. Ini bermakna, LD hanya dikenakan selepas 12 bulan kelewatan iaitu April 2020,” menurut laporan itu.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Siasatan juga menjangkakan kos pembinaan enam LCS terbabit akan terus meningkat susulan pertukaran peralatan utama yang turut melibatkan implikasi masa tambahan penyerahan kapal.

“Berdasarkan surat syarikat BNS bertarikh 16 Julai 2019, bagi menyiapkan pembinaan keenam-enam kapal LCS, ia memerlukan anggaran tambahan kos sebanyak RM1.416 bilion yang terdiri daripada kos langsung berjumlah RM58.41 juta dan juga kos tidak langsung berjumlah RM1.358 bilion ekoran pertukaran peralatan dan jadual pelaksanaan.

“Kos tidak langsung melibatkan pelanjutan tempoh Basic Design, Design Authority, jadual penghantaran peralatan, waranti, insurans dan kos kewangan serta sumber lain menjadikan anggaran keseluruhan kos projek berjumlah RM11.145 bilion sehingga laporan ini dikemukakan,” menurut laporan itu.

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top