Umum

MP PN keluar dewan bantah usul tergempar KWSP bersasar ditolak

Beberapa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) pagi ini (3 April 2023) bertindak keluar daripada sidang Dewan Rakyat kerana membantah tindakan Speaker Parlimen menolak usul tergempar bagi membincangkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersasar.

Tindakan itu diambil sejurus Ahli Parlimen PN Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memaklumkan menerima surat daripada Speaker Parlimen, Datuk Johari Abdul yang menolak usul berkenaan dibincangkan.

Beberapa ahli Parlimen PN, termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin; ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim; dan ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim, turut bangun mendesak usul berkenaan dibincangkan.

Bagaimanapun, Timbalan Speaker, Alice Lau (DAP-Lanang) kekal dengan keputusan yang dibuat, sambil berkata ahli Parlimen yang tidak berpuas hati boleh mengemukakan usul itu lagi atau berjumpa dengan Johari sendiri.

“Yang Berhormat Machang keputusan telah dibuat oleh Yang Dipertua dan mengikut peraturan mesyuarat 43 keputusan Speaker adalah muktamad… kalau tidak puas hati sila buat usul lagi,” kata Alice.

Hamzah turut bangun menjelaskan bahawa ramai ahli Parlimen yang mahu isu berkaitan pengeluaran KWSP bersasar itu dibincangkan.

“Ini adalah masalah yang benar-benar terdesak. Cuba kita lihat sudah ramai daripada kalangan rakyat yang mahukan perkara ini dibawa dan dibahaskan dalam Parlimen. Sehingga ada yang sanggup berjalan kaki dari Johor ke Istana Negara sehingga sampai hari ini.

“Apakah kerajaan tak sedar lagi bahawa rakyat di bawah sana menunggu-nunggu akan keputusan yang akan kita buatkan pada hari ini. Sebab itu kami mahu supaya ianya dibenarkan untuk kita membahaskan isu ini.

Bagaimanapun, Alice berkata keputusan Speaker Parlimen adalah muktamad dan beliau tidak boleh membuat keputusan.

Hamzah kemudian berkata pihak pembangkang tetap mahu perkara itu dibahaskan atau akan bertindak keluar dewan.

Alice juga menegur Shahidan dengan berkata “Arau tak perlu tekan mic lagi. Mahu keluar, keluar saja. Kalau mahu keluar, keluar sahaja… kalau nak keluar sila keluar jangan tekan mic lagi kita mahu teruskan persidangan hari ini.”

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top