Umum

MPN menggesa kerajaan lebih agresif dalam isu kenaikan harga barang

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa kerajaan untuk memberi tumpuan lebih progresif dan berani kepada proses pemulihan negara termasuk isu kenaikan harga barangan makanan ketika ini.

Sesungguhnya,proses kerajaan dalam menangani masalah ini masih perlahan sedangkan negara mempunyai banyak hasil pertanian, makanan dan tanah yang boleh dibangunkan.

Tambahan beliau, MPN juga akan melantik konsultan bagi membantu menyediakan Pelan Pemulihan Negara 2.0 untuk merangka pelan jangka pendek dan panjang dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi negara.

“Kalau kita ambil kira potensi negara memang ada banyak, tetapi kita kena ambil satu langkah lebih berani menggunakan teknologi moden dan cari pelabur walaupun pelabur asing.

“Bagi saya mungkin kita boleh longgarkan syarat supaya pelabur asing boleh datang untuk meneroka sektor industri pertanian dan makanan selain bawa teknologi baharu bagi menghasilkan pengeluaran lebih banyak dan berkualiti, yang mana ini satu isu yang besar.

“Sekarang ini sudah ada (pemulihan) tetapi belum cukup pantas dan banyak kekangan dihadapi pelbagai sektor termasuk ekonomi, pendidikan serta sosial dan kalau kerajaan tidak beri perhatian tentang apa yang dicadangkan oleh MPN, saya fikir proses ini tidak akan berlangsung dalam tempoh singkat dan seterusnya memberi kesan buruk kepada rakyat dan negara,” katanya.

Dalam pada itu beliau menyambut baik keputusan kerajaan memansuhkan permit kelulusan (AP) barang makanan, bagaimanapun jelasnya perkara itu memerlukan kajian terperinci dari sudut implikasi.

Jelasnya, ia bagi memastikan langkah berkenaan tidak memberi impak negatif kepada sektor makanan dan pertanian negara.

“Tujuan asal AP ini adalah untuk melindungi pengeluar tempatan yang mana pengimport dibenarkan dengan kuota tertentu supaya tidak beri kesan negatif kepada pengusaha tempatan.

“Jadi walaupun dasar mansuh AP itu dilihat baik, tetapi kita nak tengok juga apakah kesan kepada industri pertanian tempatan, apakah kerajaan boleh beri bantuan lebih kepada sektor pertanian seperti subsidi dan pinjaman bank yang mudah,” katanya.

PALING POPULAR

To Top