PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan kerajaan untuk menggunakan agensi tunggal bagi menguruskan semua bayaran kepada mangsa banjir yang terkesan melalui bantuan disediakan.
Beliau berkata, kaedah itu lebih memudahkan mangsa-mangsa yang terkesan untuk menerima bantuan kecemasan, insentif pembaikan rumah, penggantian barangan elektrik yang rosak atau bantuan daripada kerajaan negeri.
“Saya minta kerenah birokrasi bayaran-bayaran bantuan ini dipermudahkan serta dipercepatkan, kalau boleh diselaraskan oleh satu agensi sahaja seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) contohnya.
“JKM dibawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memiliki semua rekod termasuk butiran mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara yang telah disahkan.
“Maka, sudah cukup kalau (guna data) itu berdasarkan apa kelayakan penerima untuk membolehkan bantuan disalurkan dengan cepat tanpa menunggu berbulan-bulan selepas mereka pulang ke rumah masing-masing.
“Kita gunakan satu pangkalan data sahaja, jangan esok (bantuan) jabatan ini satu borang, esoknya lagi satu borang lain dan kena tandatangan penghulu, ketua kampung dan sebagainya,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata demikian ketika ditemui semasa meninjau keadaan banjir di kawasan itu termasuk singgah ke PPS Balairaya Kampung Jawa di Lenga, Muar.
Muhyiddin berkata, semua urusan pendaftaran, pengesahan dan borang-borang berkaitan seharusnya diselesaikan di PPS sementara mangsa-mangsa masih berlindung di situ.
Dalam tinjauan berkenaan, beliau berpuas hati dengan kerjasama serta koordinasi antara agensi dan jabatan-jabatan kerajaan dalam membantu proses pemindahan mangsa banjir serta bantuan susulan yang diperlukan.
“Keadaan di sini tidak sama seperti di tempat lain macam Selangor kerana di sini air naik lambat, malah penduduk juga sudah berpengalaman kerana mereka terus berpindah dan mereka tahu jika lambat keluarga akan terperangkap dan menyukarkan kerja-kerja menyelamat.
“Kesemua mangsa di PPS kata mereka dalam keadaan baik, tempat tinggal baik, makanan cukup dan kalau ada yang sakit terdapat doktor bersedia untuk memberikan rawatan.
“Selain itu, kita lihat banyak bantuan diberikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari pelbagai negeri. Ini contoh sikap perikemanusiaan yang cukup tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia baik dari yayasan atau NGO yang tampil ke depan menghulurkan tangan,” katanya.
Sumber berita: Warta Rakyat