Umum

Muhyiddin gesa kerajaan tangguh kenaikan caj kesihatan, dan kecualikan bayaran untuk B40

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan kepada kerajaan agar tidak tergesa-gesa menaikkan bayaran perkhidmatan kesihatan di hospital dan klinik kerajaan.

Menurut beliau, ia bertujuan bagi meringankan beban rakyat yang sedang berdepan tekanan kos sara hidup. Beliau juga menyarankan pengecualikan golongan berpendapatan rendah (B40) daripada dikenakan caj perkhidmatan kesihatan.

Beliau yang memahami keadaan kerajaan yang berdepan masalah kekangan fiskal yang agak meruncing, dan memerlukan sumber lain untuk menampung perbelanjaan termasuk mengenakan bayaran tertentu bagi perkhidmatan yang disediakan kepada rakyat.

“Saya faham dalam keadaan kerajaan berdepan masalah kekangan fiskal yang agak meruncing, maka sumber-sumber lain perlu dicari untuk menampung perbelanjaan kerajaan termasuk mengenakan bayaran tertentu bagi perkhidmatan yang disediakan kepada rakyat.

“Namun saya ingin mengingatkan kerajaan supaya tidak tergesa-gesa untuk meningkatkan bayaran perkhidmatan kesihatan di hospital dan di klinik kerajaan kerana ini akan menambah lagi beban rakyat yang pada masa ini sedang menanggung sengsara akibat kenaikan harga barangn keperluan harian, kadar inflasi, kenaikan OPR dan baru-baru ini ialah kenaikan tarif elektrik.

Jadi, jika ada cadangan daripada kerajaan untuk menaikkan kadar bayaran rawatan kesihatan awam, saya minta supaya ianya ditangguhkan dahulu dan diteliti semula,” katanya ketika membahaskan Laporan Kertas Putih Kesihatan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau mencadangkan kenaikan kadar fi rawatan kesihatan di klinik dan hospital kerajaan itu dikecualikan kepada golongan B40.

Namun katanya, kini ada juga rakyat yang bukan tergolong dalam B40 jatuh miskin akibat kenaikan kos sara hidup.

“Untuk meringatkan beban rakyat, kerajaan boleh mengecualikan golongan B40 daripada dikenakan bayaran.

“Tetapi kita tahu melalui kajian-kajian dibuat, ramai yang tidak tergolong dalam kelompok B40 telah pun jatuh miskin akibat kenaikan kos sara hidup yang mendadak.

“Beberapa kajian yang saya lihat termasuk yang dikeluarkan oleh Merdeka Centre baru-baru ini, majoriti rakyat merasakan kedudukan kewangan mereka lebih teruk pada tahun ini berbanding tahun yang lalu. Dapatan ini tidak terhad kepada golongan B40 sahaja,” katanya.

Dalam perbahasan sama beliau menyifatkan pandemik Covid-19 yang melanda dunia mengingatkan kerajaan supaya sentiasa meningkatkan kesiapsiagaan sistem kesihatan negara bagi menghadapi sebarang tekanan krisis kesihatan pada masa hadapan.

“Ini menuntut kerajaan supaya memberikan keutamaan pada usaha membangunkan suatu sistem kesihatan yang bukan sahaja cekap tapi juga mapan dan berdaya tahan,” katanya.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top