Umum

Muhyiddin serah kedudukannya kepada Majlis Tertinggi Bersatu

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa beliau akan membawa kedudukannya kepada majlis tertinggi parti untuk mereka membuat sebarang ketetapan.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, situasinya berbeza dengan bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan kerana beliau merupakan Presiden yang dipilih oleh parti tersebut.

“Saya akan bawa kedudukan saya kepada majlis tertinggi parti untuk mereka memutuskan kerana saya berbeza dengan Wan Saiful.

“Saya adalah Presiden yang dipilih oleh parti.

“Saya akan serah kepada majlis tertinggi dalam tempoh yang paling dekat dan apa sahaja keputusan yang mereka buat, saya akan akur,” katanya dalam sidang media di pekarangan Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas enam pertuduhan salah guna kuasa untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM232.5 juta dan pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta, antara tahun 2020 hingga 2022 lalu.

Muhyiddin yang hadir ke mahkamah dengan memakai kot hitam tanpa tali leher, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Azura Alwi dan Suzana Hussain.

Ekoran kes ini, Muhyiddin menjadi bekas Perdana Menteri kedua selepas Datuk Seri Najib Tun Razak, dituduh atas pertuduhan mengikut peruntukan seksyen sama di mahkamah itu.

Sumber: Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top