Umum

Muhyiddin tak perlu letak jawatan, kata pemimpin Bersatu

Muhyiddin Yassin tidak perlu meletakkan jawatan presiden Bersatu, walaupun dijangka didakwa di mahkamah esok, kata ketua penerangan parti itu, Razali Idris.

Beliau percaya pimpinan Bersatu tidak akan bersetuju jika Muhyiddin ingin meletak jawatan.

“Tak munasabah untuk beliau letak jawatan. Kalau beliau nak letak jawatan pun kita tak setuju. Ini tuduhan politik,” katanya kepada FMT.

Muhyiddin yang ketika ini berada di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya dijangka didakwa esok, lapor Berita Harian memetik Ketua Pesuruhjaya Azam Baki.

Kehadiran beliau di SPRM dipercayai berkaitan siasatan badan anti-rasuah itu berhubung program Jana Wibawa.

Razali, yang baharu dilantik menggantikan Wan Saiful Wan Jan, menjangkakan Muhyiddin akan ditahan.

Wan Saiful dihadapkan ke mahkamah baru-baru ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta, membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta tahun lalu. Pendakwaan itu menyusuli pembekuan akaun milik Bersatu, untuk membantu siasatan ke atas wang disyaki daripada hasil haram.

Razali menjelaskan tuduhan berkenaan membabitkan akaun parti, maka bukan Muhyiddin seorang yang bertanggungjawab.

“Kalau fikir nak letak jawatan, habis semua lah kena letak jawatan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Faiz Na’aman berkata tiada masalah sekiranya Muhyiddin terus menggalas jawatan presiden.

“Selagi belum dibuktikan bersalah oleh mahkamah,” katanya.

Sumber: FMT

PALING POPULAR

To Top