Umum

Muhyiddin tiba di mahkamah disambut pemimpin PN, ratusan penyokong

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada jam 8.40 pagi tadi bagi menghadapi tuduhan berkaitan Jana Wibawa.

Sebaik tiba, Muhyiddin dan beberapa pemimpin PN terus memasuki bangunan mahkamah memandangkan proses pendakwaan dijadualkan bermula pada jam 9 pagi.

Antara yang hadir ialah Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumi dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Turut kelihatan Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Md Jidin dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Kamal.

Kenderaan membawa Muhyiddin tiba beberapa minit selepas kenderaan membawa beberapa Ahli Parlimen PN tiba di mahkamah sama.

Ketibaan bekas Perdana Menteri itu disambut ratusan penyokong yang dilihat sudah berada di luar mahkamah seawal jam 8 pagi.

Ahli Parlimen Pagoh itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tujuh pertuduhan membabitkan projek Jana Wibawa.

Astro AWANI pada Khamis melaporkan, Muhyiddin akhirnya keluar dari bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas lebih lapan jam memasuki bangunan itu.

Dalam sidang media di luar bangunan, Muhyiddin menafikan beliau mengambil wang rakyat dan melabel tuduhan terhadapnya adalah dakwaan terpilih.

Sumber: Astro Awani

PALING POPULAR

To Top