Politik

Muhyiddin tidak perlu letak jawatan – Pas

Tiada keperluan untuk Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) susulan prestasi gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad.

Tegasnya, perkara itu tidak dibincangkan dalam kalangan ahli dan pimpinan gabungan berkenaan yang membabitkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan.

Kata beliau, walaupun PN hanya memenangi tiga kerusi dalam PRN Johor, ia tidak bermakna Ahli Parlimen Pagoh itu perlu meletakkan jawatan.

“Setakat ini perkara itu kita tak pernah bincang pun… nak tukar (Pengerusi PN) sama ada waktu menang atau kalah… siapa pengerusi PN, kita tak pernah bincang.

“Berjalan macam biasalah. Kalau kita tengok, dalam pertandingan yang baru ini (PRN Johor), PN tidak hilang wang pertaruhan banyak, kerusi (yang PN bertanding) kita tak hilang wang pertaruhan.

“Pas pun hanya satu sahaja hilang wang pertaruhan iaitu di kawasan DUN Paloh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pertandingan Futsal Piala Datuk Haji Idris Ahmad di Kamunting di sini, pada Ahad.

Tengah malam tadi, Muhyiddin dilapor berkata bersedia untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN berikutan kekalahan pada PRN Johor.

Pada PRN itu, Barisan Nasional (BN) berjaya memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN sekali gus memperoleh majoriti dua pertiga untuk membentuk kerajaan negeri yang kukuh.

Sementara itu, Pakatan Harapan (PH) menang 11 kerusi, diikuti PN (tiga), manakala PKR dan MUDA masing-masing satu kerusi.

Ditanya sama ada Pas akan kekal dengan PN atau ‘kembali’ kepada Muafakat Nasional (MN) atau bergerak bersendirian bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Idris tidak menjawab secara jelas.

Sebaliknya beliau berkata, Pas konsisten untuk bergerak atas semangat perpaduan parti antara Pas, Bersatu, UMNO atau dengan mana-mana parti yang mahu bekerjasama dengan Pas.

“Setakat hari ini Pas kekal dalam bentuk perpaduan, kita terima perpaduan. Kita nak, daripada awal lagi kita konsisten. Sama ada dengan UMNO ataupun dengan Bersatu dan parti-parti yang bersedia untuk bersama dengan kita. Kita terimalah,” katanya.

Sumber: Astro Awani

PALING POPULAR

To Top