Buletin

Najib bakal dapat rumah percuma bernilai RM100 juta di kejiranan mewah KL

Bekas perdana menteri Najib Razak memohon “keistimewaan” daripada kerajaan dalam bentuk sebuah rumah kediaman dengan keluasan 2.8 ekar bernilai RM100 juta yang terletak di kejiranan paling eksklusif Kuala Lumpur, menerima kelulusan daripada kerajaan namun dibantah menteri dan pegawai kanan, MalaysiaNow boleh mendedahkan.

Difahamkan Najib membuat permohonan tersebut setahun selepas digulingkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 2018 dan sekali lagi tahun lalu, beberapa bulan sebelum beliau disabitkan bersalah bagi kes rasuah melibatkan skandal 1MDB.

Ketika dihubungi, satu sumber dalaman Umno mengesahkan Najib membuat permohonan tersebut dari Jabatan Perdana Menteri, memetik satu tindakan yang membolehkan seorang bekas perdana menteri mendapat kelebihan istimewa dan beberapa elaun dan termasuk pemilikan hartanah yang dimiliki kerajaan.

“Beliau buat permohonan itu berdasarkan amalan kerajaan yang mentadbir dijangka memberikan penghargaan kepada pentadbiran sebelumnya di atas perkhidmatan mereka dan sumbangan kepada negara,” kata sumber itu kepada MalaysiaNow.

MalaysiaNow juga turut difahamkan keputusan untuk meluluskan permohonan Najib tidak disenangi beberapa pegawai kanan dan menteri yang membangkitkan sabitan kes rasuah terhadapnya

Terdapat beberapa petanda yang menunjukkan beberapa menteri termasuk dari Perikatan Nasional (PN) dan beberapa menteri Umno daripada kem anti-Najib membantah langkah tersebut.

Seorang bekas menteri dan ahli politik Bersatu menyatakan rasa terkejut ketika dimaklumkan mengenai keputusan tersebut, mengatakan ia adalah satu perkara yang pelik berhubung layanan kepada penjawat awam bahkan kepada penjawat awam yang disabitkan kesalahan lebih kecil.

“Ingat tak tentang kes seorang anggota polis yang kehilangan kelebihan pencen walaupun sudah berkhidmat selama 30 tahun dalam pasukan? Dia ambil rasuah tak sampai RM700,” katanya.

“Namun, kini kita dengar orang yang disabitkan kesalahan berhubung dana RM42 bilion (dapat kelebihan),” tambahnya merujuk sabitan kes Najib berkait dana SRC International.

“Keistimewaan” kepada Najib turut termasuk penganugerahan pemilikan sebuah tanah premium dengan keluasan lebih 120,000 meter persegi di Bukit Petaling, kawasan kejiranan eksklusif di tengah-tengah Kuala Lumpur, selain pembinaan banglo di kawasan itu melibatkan kos RM100 juta.

Di bawah undang-undang yang diperkenalkan pada awal 80-an, bekas perdana menteri itu berhak untuk memilih tiga jenis elaun perumahan dalam bentuk penghargaan daripada kerajaan.

Kemudahan tersebut tersenarai di bawah Akta Ahli Parlimen (Saraan) dan boleh dipilih sama ada dalam bentuk rumah kerajaan lengkap dengan segala keperluan, elaun RM10,000 sebulan jika beliau memilih untuk tinggal di kediaman sendiri atau pemilikan sebuah rumah yang dihadiahkan oleh kerajaan.

Beberapa pemeriksaan mendapati Dr Mahathir Mohamad, yang mengetuai kerajaan sebanyak dua kali termasuk 23 tahun pada penggal pentadbiran pertamanya menerima elaun RM10,000 sebulan sementara penggantinya Abdullah Ahmad Badawi menerima rumah daripada kerajaan berdekatan kawasan bersejarah, Carcosa Seri Negara.

Sejak pentadbirannya tumbang dari tampuk kuasa, Najib tinggal di rumah kediaman peribadinya di Taman Duta, menerima elaun sebanyak RM10,000, namun kini memilih untuk mendapatkan rumah percuma daripada kerajaan.

Difahamkan Najib membuat permohonan rasmi kepada kerajaan awal tahun ini susulan lawatan ke tanah kosong tersebut.

“Hartanah itu mempunyai nilai pasaran sebanyak RM20 juta lebih daripada apa yang diberikan kepada Abdullah,” kata agen hartanah yang memiliki kepakaran dalam hartanah eksklusif di ibu negara.

Sejak ditumbangkan daripada kuasa dan berdepan puluhan pertuduhan rasuah, Najib menjenamakan semula dirinya sebagai jaguh rakyat biasa menggunakan slogan “Bossku” yang digunakan secara meluas di platform media sosial.

Beberapa serbuan susulan kejatuhannya, pihak berkuasa menyita senarai panjang barangan mewah termasuk barangan kemas, jam tangan, beg tangan mewah yang bernilai ratusan juta ringgit di mana penyiasat mempercayai ia berkait dengan skandal 1MDB.

Tahun lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mendapati beliau bersalah bagi tujuh pertuduhan jenayah pecah amanah, pengubahan wang dan salah guna kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC International yang berkait 1MDB.

Rayuan Najib bagi sabitan kes tersebut masih berjalan ketika ini.

Beliau juga dilarang untuk melakukan perjalanan ke luar negara sejak 2018 namun berjaya mendapatkan pasport untuk ke Singapura akhir bulan ini.

Bulan lalu, beliau juga memenangi permohonannya terhadap tuntutan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bulan lalu bagi menangguhkan pembayaran kira-kira RM1.7 bilion cukai tertunggak.

PALING POPULAR

To Top