Umum

Najib terdesak mohon batal bicara SRC

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dikatakan terdesak untuk membatalkan perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International dengan membangkitkan dakwaan tidak berasas dan bertujuan untuk memperlekehkan hakim yang mendengar dan menjatuhkan hukuman kepadanya.

Menurut afidavit sokongan lanjutan yang difailkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul, dakwaan Ahli Parlimen Pekan itu yang dilemparkan kepada Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali hanyalah untuk mengalihkan kesalahan yang disabitkan ke atasnya oleh hakim bicara itu.

Hakim Mohd. Nazlan yang kini Hakim Mahkamah Rayuan merupakan hakim yang menadapati Najib bersalah atas atas tujuh pertuduhan membabitkan kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Beliau turut menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi kesemua kesalahan itu. Rayuan akhir kes itu akan didengar selama dua minggu bermula 15 Ogos ini di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya.

Dakwaan pemohon (Najib) berhubung penyembunyian keterangan oleh siasatan dan pendakwaan (kes) SRC dan Hakim Mohd. Nazlan adalah tidak berasas dan mementingkan diri. Dakwaan pengetahuan dan penglibatan Hakim Mohd. Nazlan melalui tindakan Maybank Invenstment Bank yang dikatakan menubuhkan SRC adalah jelas sangkaan semata-mata dan tidak disokong oleh keterangan.

“Dakwaan pemohon (Najib) yang bersifat mementingkan diri bahawa persepsi Nazlan berhubung 1MDB pada 2015 akan mempengaruhi persepsinya terhadap SRC adalah tidak munasabah dan percubaan terdesak untuk memperkukuh teori konflik kepentingannya dalam permohonannya bagi menerima keterangan tambahan baharu,” kata pendakwa raya itu.

Selain itu, Mohd. Ashrof dalam afidavit lanjutan itu menyatakan, permohonan Najib untuk membatalkan perbicaraan itu dengan menyentuh mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Mohd. Nazlan, dipenuhi skandal yang bertujuan mencemarkan nama baiknya sebagai hakim perbicaraan. 

“Dakwaan bahawa pemohon (Najib) mempunyai pengetahuan peribadi mengenai siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) adalah tidak benar kerana SPRM sebagai agensi penguatkuasaan yang bebas tidak akan mendedahkan maklumat rahsia berkenaan siasatan yang sedang dijalankan,”katanya.

Pda 7 Jun lalu, Najib memfailkan notis usul memohon mahkamah menimbangkan supaya diadakan perbicaraan semula atau dibatalkan berikutan Hakim Mohd. Nazlan yang mendengar perbicaraan itu sengaja gagal mendedahkan peranannya dalam Maybank Investment melalui Bina Fikir Sdn. Bhd. berkaitan penubuhan SRC.

Najib bagaimanapun menafikan bahawa permohonannya itu adalah bertujuan untuk memanjangkan prosiding dan tujuan sampingan lain.

Selain itu, Mohd. Ashrof menyatakan tidak wujud sebarang konflik kepentingan apabila Hakim Mohd.

Nazlan mendengar kes tersebut, malah, Najib sendiri mengakui bahawa tidak ada sebarang dakwaan rasuah terhadap hakim tersebut.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi di sini mensabitkan Najib bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Pada 8 Disember 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atas Najib kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC.

Mahkamah Persekutuan adalah rayuan terakhir Najib terhadap sabitan dan hukumannya.

Pendengaran rayuan ditetapkan selama 10 hari iaitu daripada 15 hingga 19 Ogos sebelum bersambung pada 22 hingga 26 Ogos ini. –UTUSAN ONLINE

PALING POPULAR

To Top