Buletin

Najib tulis surat minta “hadiah” tanah bernilai RM100 juta, dakwa Dr Mahathir

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Datuk Seri Najib Razak ada menulis surat kepada kerajaan, meminta dihadiahkan kepada beliau sebidang tanah atas jasanya sebagai Perdana Menteri.

Menurut Ahli Parlimen Langkawi itu, Najib menulis surat berkenaan sebanyak dua kali dan ia akhirnya diluluskan selepas kali kedua surat itu dihantar.

Jelas Dr Mahathir, beliau mengetahui perkara itu kerana ada individu mendedahkan perkara itu kepadanya dan ia boleh dipercayai, kerana tegasnya, individu itu tidak akan tergamak berbohong kepadanya.

“Pada waktu dia mendapat itu (hadiah tanah), saya fikir dia sedang dibicara dan keputusan dibuat bahawa dia bersalah.

“Tapi dia buat surat kepada kerajaan, saya tak dapat tentukan tarikh tapi inilah yang berlaku, tiada perasaan malu kerana orang ini mendakwa tidak perlu malu.

“Minta duit daripada orang kerana curi duit tidak malu. Apa hendak malu kerana dia bos. Itulah sebenarnya yang berlaku,” katanya ketika sesi Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Isnin.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut mengkritik keputusan tersebut yang dibuat tanpa rujukan kepada Dewan Rakyat dan undang-undang, seolah-olah kerajaan berhak buat apa saja keputusan tanpa mengikut undang-undang.

Mengulas hadiah tersebut, beliau menegaskan tidak mengambil sesen pun daripada kerajaan selepas bersara meski pun diberikan tawaran pemberian tanah.

“Gaji saya RM20,000 (semasa menjadi Perdana Menteri), lebih daripada cukup. Bahkan, Kerajaan juga beri segalanya yang diperlukan.

“Saya diberi rumah, api, air, pengangkutan, beberapa buah kereta, kapal terbang pun diberikan juga kepada saya.

“Apa lagi yang perlu diberikan kepada saya setelah saya bersara. Sebab itu, saya tidak ambil barang satu sen pun.

“Tetapi bila datang ke Perdana Menteri Ketujuh, berasas kepada apa yang diberikan kepada Perdana Menteri Kelima sebanyak RM70 juta, dia minta lebihlah … kerana jasanya lebih banyak, dia curi lebih banyak.

“Jadi, kita perlu beri “hadiah” lebih banyak iaitu sebanyak RM100 juta,” ujarnya.

Justeru, beliau berharap kerajaan tidak lagi membuat keputusan di luar undang-undang kerana ia akan mewujudkan ketidakstabilan dalam negara.

PALING POPULAR

To Top