Umum

Ngeh Koo Ham saran kerajaan lantik pakar bukan Islam untuk bantu jawatankuasa undang-undang syariah

Gambar Ngeh Koo Ham

Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham menyarankan agar kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-undang Islam, yang ditubuhkan awal bulan ini.

Menurutnya, langkah itu bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.

Ngeh mengingatkan bahawa Perlembagaan dibentuk dengan mengambil kira kepentingan semua golongan, maka sebarang perubahan yang memberi kesan kepada kaum dan agama mesti dibincangkan secara menyeluruh untuk mengelakkan konflik.

“Dalam mengharmonikan undang-undang syariah dengan Perlembagaan, adalah penting pandangan orang bukan Islam diambil kira supaya hak dan perlindungan yang diberikan oleh Perlembagaan kepada orang bukan Islam serta asas negara kita tidak terjejas,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, Ngeh menyarankan kerajaan agar turut melibatkan Badan Peguam, memandangkan badan berkanun itu dibentuk untuk memastikan undang-undang yang diluluskan adil dan saksama.

Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri Untuk Menggubal Undang-undang Islam bertanggungjawab mengkaji isu-isu melibatkan bidang kuasa Persekutuan dan negeri, khususnya berkaitan kompetensi DUN mengenai penggubalan undang-undang Islam serta bidang kuasa mahkamah, sebagaimana diperuntukkan Perlembagaan.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar, ia juga akan perhalusi semua perkara melibatkan pertindihan antara mahkamah syariah dan sivil termasuk isu melibatkan pertukaran agama, harta, tuntutan hadhanah, dan wasiat.

Penubuhannya menjunjung titah Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, bagi mengkaji secara mendalam dan kritikal persoalan undang-undang yang berbangkit, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan kompetensi DUN dalam kerangka yang ditetapkan Perlembagaan.

Jawatankuasa 10 anggota tersebut dipengerusikan bekas ketua hakim negara Zaki Azmi, yang turut dianggotai bekas hakim Mahkamah Persekutuan Mohd Zawawi Salleh; anggota Majlis Agama Islam Selangor, Salehuddin Saidin; dan Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Melaka, Nadzri Abdul Rahman.

Libat urus akan diadakan dengan majlis agama negeri-negeri dan syor akan dikemuka ke MKI dan seterusnya Majlis Raja-raja.

 

Sumber FMT

PALING POPULAR

To Top