Umum

Nik Nazmi umum peletakan jawatan dari jemaah menteri, berkuatkuasa 4 Julai

Gambar Niz Nazmi

Nik Nazmi Nik Ahmad meletak jawatan sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam susulan kegagalan mempertahankan jawatan naib presiden pada pemilihan pusat parti baru-baru ini.

Menerusi suatu kenyataan hari ini, Nik Nazmi memaklumkan telah menghantar surat peletakan jawatannya, yang akan berkuat kuasa pada 4 Julai, kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dan akan bercuti mulai esok sehingga 3 Julai.

“Sejak dilantik ke dalam Jemaah Menteri, pertama sebagai menteri sumber asli, alam sekitar dan perubahan iklim (Disember 2022-Disember 2023), dan seterusnya (jawatan semasa), saya telah berusaha sebaik mungkin bersama timbalan menteri dan para penjawat awam yang berdedikasi untuk melaksanakan reformasi yang amat diperlukan,”ujarnya.

Mengulas lanjut berkaitan peletakan jawatan, beliau berkata “Saya sedar kedudukan saya ketika itu sebagai naib presiden PKR merupakan antara pertimbangan utama dalam pelantikan saya ke Kabinet.”

“Memandangkan saya tidak berjaya mempertahankan jawatan tersebut dalam pemilihan parti baru-baru ini, saya telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai menteri,” katanya lagi.

Ini merupakan peletakan jawatan kedua dari jemaah menteri selepas Rafizi susulan keputusan pemilihan parti PKR tempohari.

Rafizi memaklumkan peletakan jawatannya akan berkuat kuasa pada 17 Jun, selepas beliau menghabiskan baki cuti tahunan bermula hari ini.

Pada pemilihan pusat PKR Jumaat lepas, Nik Nazmi gagal mengekalkan jawatan naib presiden, sementara Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun, dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang dipilih semula.

Manakala Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi R Ramanan kini menyandang jawatan naib presiden.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Setiawangsa itu turut gagal mempertahankan kedudukannya sebagai ketua PKR Setiawangsa dalam pemilihan cabang bulan lepas.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top