Rafizi Ramli telah mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Ekonomi susulan kekalahan kepada Nurul Izzah Anwar dalam pemilihan timbalan presiden PKR.
Menerusi suatu hantaran di Facebook, beliau menyatakan surat peletakan jawatan sudah diserahkan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Mengulas lanjut, beliau berkata tarikh peletakan jawatan itu akan berkuat kuasa pada 17 Jun dan beliau akan menghabiskan baki cuti tahunan bermula hari ini hingga 16 Jun.
“Saya menyertai politik untuk membudayakan politik baru yang berteraskan kebertanggungjawaban dan mandat rakyat.
“Kekalahan saya dalam pemilihan PKR baru-baru ini bermakna saya tidak lagi mempunyai mandat daripada parti saya untuk menterjemahkan agenda rakyat yang digagaskan oleh PKR menjadi program kerajaan,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Ahli Parlimen Pandan itu berkata akan melepaskan jawatan menteri dan kembali menjadi Ahli Parlimen biasa jika gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden parti disandangnya.
Dalam kenyataan itu, Rafizi turut merakamkan ucapan terima kasih kepada kepimpinan dan kakitangan Kementerian Ekonomi yang memberi sokongan sepanjang beliau menerajui kementerian itu.
Pada pemilihan parti itu yang berlangsung pada minggu lalu, Nurul Izzah Anwar telah berjaya meraih sebanyak 9,803 undi, mengatasi penyandang jawatan Rafizi yang memperoleh 3,866 undi.
