Umum

Noktahkan polemik SD, tukar kerajaan melalui usul tidak percaya di Parlimen

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, peluang terakhir untuk menukar kerajaan di luar pilihan raya umum (PRU) adalah melalui usul tidak percaya di Parlimen.

Menurutnya, dakwaan kewujudan akuan bersumpah (SD) yang disebut-sebut oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hanya permainan persepsi semata-mata.

“Kalaupun ada ahli-ahli Parlimen yang menandatangani SD, bermakna mereka sendiri takut untuk menzahirkan sokongan terbuka.

“Mungkin sebab itulah pembangkang tidak berani mencadangkan usul tidak percaya walaupun berkali-kali PM (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mencabar mereka melakukannya,” katanya menerusi sebuah hantaran di Facebook pada Isnin.

Asyraf menyifatkan antara faktor lain bahawa SD hanya mainan persepsi adalah apabila Yang di-Pertuan Agong juga sudah berkali-kali menitahkan baginda tidak akan melayani sebarang persembahan SD untuk menukar kerajaan.

“Gabungan Parti Sarawak (GPS) terutamanya ahli-ahli Parlimen bukan Islam sudah menyatakan dengan tegas tidak akan menyokong Perikatan Nasional (PN) kerana dalamnya ada parti Pas.

“Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) pula terikat dengan kontrak RM100 juta bon yang harus dibayar jika beralih sokongan,” katanya.

“Apakah MB Kedah mahu membiarkan rakyat terus menderita selama bertahun-tahun selepas kejatuhan BN 2018 sehingga menyebabkan ekonomi merudum teruk hingga kos sara hidup meningkat lantaran pelabur yang keluar akibat politik tidak stabil?

“Maka titik noktahkan sahaja polemik SD yang tidak menguntungkan ini. Tunggulah empat tahun sahaja lagi untuk Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan bagi memenuhi nafsu pembangkang menjadi kerajaan,” katanya.

PALING POPULAR

To Top