Umum

Op Cantas, ‘Ayahanda’ ketuai pertubuhan haram ditahan

Gambar PDRM

Individu bergelar ‘Ayahanda’ dipercayai ketua sebuah pertubuhan haram ditahan dalam Op Cantas (Gengsterisme) di kawasan gerai di Inanam Point, Jalan Tuaran, di Kota Kinabalu, pada hari Rabu lalu.

Seramai 14 lelaki berusia antara 22 hingga 49 tahun ditahan sepasukan polis Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dengan dibantu anggota Balai Polis Inanam dalam serbuan yang dibuat kira-kira jam 10.10 malam itu.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah, Senior Asisten Komisioner Polis, Azmi Abd Rahim, pemeriksaan awal mendapati kesemua mereka mendakwa sebagai ahli Pertubuhan Amal Nusantara Bersatu Sabah (ANB).

“Bagaimanapun, semakan pada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) mendapati logo yang digunakan oleh pertubuhan itu adalah tidak berdaftar.
“Selain itu, didapati wujud unsur-unsur kumpulan Double 7 yang diwartakan sebagai pertubuhan haram pada 2013,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Katanya lagi, operasi itu juga turut menahan seorang lelaki yang dipercayai sebagai ketua pertubuhan ANB Bersatu di Sabah dengan gelaran ‘Ayah Abu Nilam Bersatu’.

Serbuan tersebut turut merampas senjata api mainan menyerupai pistol C15, pisau pemotong daging dan pedang samurai.
Tambahan itu, beliau juga menyatakan 20 keping pelekat tertera logo kumpulan, kad ahli, 12 telefon bimbit dan empat kereta pelbagai jenis tertera pelekat pertubuhan ANB dan kumpulan Double 7 turut dirampas.

Siasatan juga mendapati pertubuhan itu kini mempunyai seramai 100 ahli di sekitar bandar raya ini, Kota Belud, Ranau, Semporna dan Sandakan.

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 50 Akta Pertubuhan 1966,” katanya.

PALING POPULAR

To Top