Umum

Operasi SAR runtuhan kuari guna kaedah letupan terkawal – Ketua Polis Perak

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua mangsa yang dipercayai tertimbus di bawah runtuhan kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini yang masuk hari kelapan semalam, dipertingkatkan dengan menggunakan kaedah letupan terkawal.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata kaedah itu dilakukan bagi membersihkan laluan yang terhalang oleh bongkah batu besar, bagi mengesan kedudukan sebenar dua mangsa berkenaan.

“Operasi SAR masih giat dijalankan di lokasi kejadian, dengan dipantau ketat oleh pakar cerun daripada Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.

Sementara itu, Mior Faridalathrash berkata pihaknya telah memberi bantuan kebajikan yang sewajarnya kepada waris kedua-dua mangsa, termasuklah mengadakan lawatan prihatin dan sumbangan bekalan makanan kering melalui Skuad Aman Wanita (Amanita) Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh.

“Pihak polis juga memaklumkan perkembangan operasi SAR kepada waris kedua-dua mangsa dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan kepada orang awam agar tidak menyebarkan maklumat atau fakta yang tidak benar mengenai operasi SAR, dengan cara menularkannya di media sosial sehingga menjejaskan operasi berkenaan, mahu pun menyinggung perasaan waris kedua-dua mangsa dalam kejadian ini.

Kejadian pada 9.15 pagi Selasa lepas itu menyebabkan dua lelaki dipercayai tertimbus iaitu Kheow Loo Siew Soon, 49, dan Itam Lasoh, 43, manakala Mohd Razli Suhaimi, 35, mengalami patah tulang kaki dan Pan Tam, 38, cedera ringan.

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top