Umum

OPR akan meningkat kepada 3% bulan ini, ramal Standard Chartered

Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengumumkan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) kepada 3 peratus dalam mesyuaratnya Khamis ini, demikian menurut Standard Chartered Malaysia.

Kenaikan daripada 2.75 peratus ketika ini, membalikkan langkah pemotongan kadar yang disebabkan oleh pandemik COVID-19.

Pertumbuhan inflasi yang tinggi, melonjak dan meluas akan menyebabkan dasar monetari akan terus diperketatkan.

“Kami akan memerhatikan penilaian BNM terhadap pendirian dasar monetari, yang akan memberi pencerahan mengenai seberapa hampir bank pusat itu untuk mengakhiri kitaran memperketatkan dasar,” katanya dalam nota kajian pada Selasa.

Bank pusat akan mengumumkan kenaikan kadar itu dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Khamis ini.

Sepanjang 2022, BNM telah menaikkan OPR sebanyak 100 mata asas kepada 2.75 peratus daripada paras terendah dalam sejarah iaitu 1.75 peratus akibat pandemik COVID-19.

Standard Chartered turut mengunjurkan pertumbuhan kekal kukuh di Malaysia, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setahun penuh 2022 dijangka mencecah 8.8 peratus.

“Inflasi melonjak dan meluas, mencerminkan inflasi permintaan yang kukuh di tengah-tengah peningkatan gaji pembuatan dan perkhidmatan, walaupun gaji perkhidmatan masih lagi berada di bawah trend pertumhuhan jangka sederhana,” jelasnya.

Namun, firma itu berkata, risiko peningkatan inflasi adalah kekal, dengan tekanan inflasi yang meluas, kenaikan kos perkhidmatan dan harga import yang masih tinggi.

“Susulan kemungkinan kenaikan pada bulan ini, kami menjangkakan ia akan berhenti pada Mac, sebelum satu lagi kenaikan 25 mata asas pada Mei.

“Ini berdasarkan kepada jangkaan kerajaan akan mengumumkan sebahagian pelarasan subsidi pada separuh kedua 2023.

“Jika subsidi ditarik balik kepada hanya 20 peratus pengguna RON95, kami menganggarkan inflasi utama akan meningkat hanya 0.9 peratus mengikut asas tahunan,” katanya. – DagangNews.com

PALING POPULAR

To Top