Umum

Orang ramai boleh kongsi video, gambar kesalahan trafik – PDRM

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat atau aduan berkaitan kesalahan trafik sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, maklumat tersebut boleh dikongsi dalam bentuk video atau gambar kepada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).

Tambah beliau, Ops Selamat 18 telah dilancarkan semalam dengan fokus memastikan aliran trafik lancar bagi pengguna jalan raya selain memastikan keselamatan harta benda atau premis kediaman.

“Ini bagi menurunkan kadar jenayah pecah rumah dan meminimumkan kes kemalangan semasa musim perayaan.

“JSPT turut bakal melancarkan Op Lancar di kawasan-kawasan hotspot yang dijangka berlaku kesesakan trafik akibat pergerakan orang ramai pulang ke kampung dan kembali semula apabila tamat musim perayaan.

“Seluruh jentera PDRM di lapangan melibatkan anggota-anggota balai dan elemen kereta peronda (MVP), unit rondaan bermotosikal (URB) serta rondaan BIT akan diatur gerak secara holistik dan sistematik bagi mengurangkan beban trafik di lebuh raya, jalan-jalan negeri serta perbandaran,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Acryl Sani meminta pengguna jalan raya peka dengan informasi terkini mengenai aliran trafik di media sosial rasmi JSPT yang dapat membantu masyarakat merancang perjalanan masing-masing.

“Laksanakan peranan sebagai pengguna jalan raya yang berhemah dan patuhi segala peraturan lalu lintas dengan tidak memotong barisan, menyalah lorong kecemasan atau parkir kenderaan hingga menghalang laluan,” ujarnya.

Tambah Acrly Sani, melalui Op Selamat 18, PDRM komited untuk memastikan masyarakat dapat merayakan sambutan Hari Raya Aidilfitri dalam suasana kekeluargaan demi kesejahteraan dan selamat sepannjang perjalanan.

PALING POPULAR

To Top