Buletin

Pahang rancang bina lapangan terbang antarabangsa di Gebeng

Rancangan kerajaan Pahang membina sebuah lapangan terbang antarabangsa baru di Gebeng di sini, secara dasarnya telah dipersetujui Majlis Perancangan Fizikal Negara, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata ia diputuskan dalam mesyuarat Khamis lepas, dengan kerajaan negeri diminta membuat kajian mendalam projek itu, yang akan menjadi sebahagian daripada rancangan Pahang mewujudkan bandar aeroangkasa di Gebeng menjelang tahun 2050.

“Kita melihat ada keperluan untuk membina lapangan terbang baru kerana di Pantai Timur masih belum ada lapangan terbang antarabangsa dan ini dapat memberi kemudahan infrastruktur pengangkutan lebih baik, meningkatkan ekonomi dan sektor pelancongan.

“Ia juga dirancang mengambil kira faktor kita tidak boleh melakukan pembesaran di lapangan terbang sedia ada (Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah) kerana ia milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang mungkin melibatkan faktor keselamatan,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sesi Libat Urus Pasca Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mustapa Mohamed di sini pada Ahad.

Mengenai RMK12, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri mengemukakan 731 projek melalui pelbagai kementerian dengan jumlah kos keseluruhan RM50.571 bilion, dan 13 daripadanya diletakkan dalam senarai keutamaan.

Ini termasuklah pembinaan jalan baru dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Selangor ke Bera dan Temerloh sejauh 107 kilometer (km), kolej komuniti di Lipis dan jalan pintasan Cameron Highlands.

Berdasarkan pelan perancangan pelaksanaan RMK12 Pahang, terdapat tujuh jajaran jalan raya sepanjang 238.8 km termasuk dua di Cameron Highlands iaitu Habu -Tringkap Bypass (10.7 km) dan Blue Valley – Kuala Terla Bypass (11 km) selain pembinaan jalan baru dari Karak ke Simpang Pelangai di Bentong sepanjang 34.2 km.

Berhubung Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), Wan Rosdy berkata kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM10.452 bilion untuk melaksanakan 576 projek dan daripada jumlah itu, kerajaan negeri membelanjakan RM10.036 bilion atau 96.02 peratus.

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top