Umum

Pameran YAE! ‘Embracing a new chapter’ bermula 22 Jun hingga 8 Julai di GMBB

Gambar Facebook

Bermula 22 Jun lalu hingga 8 Julai ini, Balai Seni Negara akan menganjurkan pameran akhir program Young Art Entrepreneurs (YAE!) kohort ke-9 iaitu ‘YAE!: Embracing A New Chapter’ di GMBB, Kuala Lumpur.

Kohort kali ke-9 ini berjaya menarik penyertaan 15 peserta terpilih untuk menjalani sesi pembelajaran ilmu keusahawanan secara intensif selama empat bulan di Art Depot, Balai Seni Negara.

YAE! bertujuan untuk memberi persediaan kepada penggiat seni muda dalam melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan ciri keusahawanan dalam dalam bidang seni yang maju serta berdaya saing.

“Sepanjang pelaksanaannya, peserta didedahkan dengan asas keusahawanan, kaedah pengurusan projek, teknik promosi dan pemasaran serta kaedah membina ‘Business Model Canvas’ yang betul.

“Mereka turut berpeluang menyertai pasaran seni di program kesenian dengan sokongan Balai Seni Negara dan berkongsi pandangan melalui penganjuran bengkel seni,” kata Balai Seni Negara dalam kenyataan.

Perasmian pameran itu telah disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Mohd Yusri Mohd Yusoff pada hari Rabu.

Dalam ucapan perasmiannya, Yusri menyatakan harapan program itu terus berjaya dan diberi nilai tambah baharu agar YAE! sentiasa relevan dengan peredaran zaman bersesuaian dengan model perniagaan inklusif Madani iaitu strategi untuk menyediakan peluang mata pencarian secara komersial melalui aktiviti perniagaan bersama sektor korporat.

“Saya amat berharap kepada mana-mana pihak sama ada korporat atau awam yang berminat dengan produk dan model perniagaan peserta YAE! ini dapat turut sama menggembleng tenaga dan melabur serta bekerjasama untuk merealisasikan hasrat ini,” katanya.

Majlis perasmian itu turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) Shaik Rizal Sulaiman, Ketua Pengarah Balai Seni Negara Amerrudin Ahmad dan Pengurus Besar GMBB Kuala Lumpur Lim Ying Hui.

Sejak diperkenalkan pada 2017 Balai Seni Negara berjaya melahirkan seramai 138 usahawan seni melalui program YAE!

Orang ramai dijemput hadir ke pameran akhir ‘YAE!: Embracing A New Chapter’ di GMBB Kuala Lumpur yang akan berakhir 8 Julai ini.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang www.artgallery.gov.my atau ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara

 

 

PALING POPULAR

To Top