Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL) mencatat satu pencapaian membanggakan apabila berjaya melaksanakan 50 prosedur Peroral Endoscopic Myotomy (POEM) sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2020. Kejayaan ini menandakan peranan PHKL sebagai peneraju rawatan endoskopik moden yang lebih selamat dan kurang invasif dalam bidang gastroenterologi.
Menurut Dr. Lau Peng Choong, Pakar Bedah Gastrointestinal Atasan di PHKL, beliau telah melakukan prosedur POEM pertama di hospital ini pada tahun 2020, sekaligus menjadikan PHKL sebagai hospital swasta pertama di Malaysia yang menjalankan teknik ini.
Apakah Itu POEM?
POEM ialah teknik rawatan moden tanpa pembedahan terbuka yang digunakan untuk merawat penyakit akalasia — satu keadaan jarang berlaku di mana otot esofagus (saluran makanan) gagal menolak makanan masuk ke dalam perut.
Berbeza dengan pembedahan biasa atau laparoskopi, POEM dilakukan sepenuhnya melalui mulut menggunakan endoskop. Prosedur ini membolehkan pemotongan otot esofagus yang menyekat laluan makanan, sekali gus membantu penghadaman dan mempercepat proses pemulihan.
“Kami berbangga mencapai tahap 50 prosedur POEM. Rawatan ini telah banyak membantu meningkatkan kualiti hidup pesakit akalasia, yang sering disalah anggap sebagai refluks asid atau gangguan kebimbangan,” jelas Dr. Lau.
“Dengan POEM, pesakit kini boleh sembuh dengan lebih cepat, kurang sakit, dan risiko komplikasi yang lebih rendah.”
Meluaskan Kepakaran Endoskopik
Selain POEM, Dr. Lau Peng Choong bersama Dr. Gew Lai Teck (Pakar Gastroenterologi dan Hepatologi) turut berjaya menjalankan hampir 20 prosedur Endoscopic Submucosal Dissection (ESD) bagi pesakit kanser gastrousus peringkat awal (Stage 1).
ESD ialah kaedah presisi tinggi yang membolehkan penyingkiran awal ketumbuhan seperti kanser atau polip besar tanpa perlu pembedahan terbuka. Ini membolehkan pesakit menjalani rawatan yang lebih selamat dan pemulihan yang cepat.
Pasukan PHKL terdiri daripada pakar-pakar berpengalaman dalam rawatan endoskopik lanjutan dan disokong oleh pasukan pelbagai disiplin yang komited untuk memberikan rawatan menyeluruh.
Rawatan Obesiti Tanpa Pembedahan Kini Ditawarkan
PHKL juga kini menawarkan prosedur Endoscopic Sleeve Gastroplasty (ESG) pada harga pengenalan RM25,000. ESG merupakan rawatan alternatif tanpa pembedahan untuk pengurusan berat badan, dan sesuai untuk mereka yang mencari penyelesaian berkesan dan selamat.
Prosedur ini dikendalikan oleh Dr. Lau dan Dr. Gew, yang masing-masing dilatih dalam teknik ESG moden, menggunakan peralatan terkini daripada Olympus Medical Solutions dan Boston Scientific.
“Kami kini mampu tawarkan pilihan rawatan untuk pelbagai kondisi — dari kanser, obesiti, hingga masalah penghadaman — dengan kaedah yang cepat, berkesan dan tidak menyakitkan,” ujar Dr. Lau.
Untuk maklumat lanjut tentang prosedur atau perkhidmatan di PHKL, layari:
www.pantai.com.my/kuala-lumpur
