Umum

Papan iklan gergasi terbakar, 9 pekerja berjaya diselamatkan

Gambar JBPM

9 nyawa perkerja berjaya diselamatkan dalam kejadian papan iklan gergasi terbakar di KM33.8 Lebuh Raya Persekutuan, petang Jumaat.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Petaling Jaya, Rosman Majid, mangsa diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tindakan lanjut.

Dilaporkan media, 9 pekerja yang berada di atas papan iklan elektronik itu, antaranya sedang melakukan kerja penyelenggaraan.

Turut dilaporkan, 3 daripada mereka mengalami kecederaan akibat terkena api dan dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Rosman memaklumkan sejurus menerima panggilan kecemasan pada 1.15 pm, 4 jentera dengan pelbagai peranan daripada 4 balai bomba berdekatan bergegas ke tempat kejadian.

Usaha menyelamat dan memadam kebakaran berdekatan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Katholik itu melibatkan 2 kenderaan penyelamat kebakaran, satu platform tangga udara, dan satu tangki air dengan kekuatan seramai 17 anggota dari balai bomba Petaling Jaya, Jalan Penchala, Subang Jaya, dan Shah Alam.

“Penolong Pengarah Operasi Negeri, Penguasa Kanan Bomba I, Ahmad Mukhlis Mukhtar telah hadir ke operasi kebakaran,” katanya dalam kenyataan.

Kebakaran mengakibatkan kepulan asap hitam tebal, namun situasi dilaporkan dapat dikawal.

Operasi ditamatkan kira-kira 3.45 petang tadi. Punca kebakaran belum dimaklumkan setakat ini.

 

 

PALING POPULAR

To Top