Umum

Parkir percuma bagi pengunjung ke MAHA 2024

Pengunjung yang hadir ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2024) di MAEPS, boleh menikmati caj parkir percuma bermula hari Sabtu.

Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, insiatif itu dilakukan bagi memudahkan pengunjung yang hadir ke acara berkenaan.

“Saya berada di tempat parkir utama untuk melancarkan kemasukan pengunjung ke MAHA 2024, maka bermula sekarang kita memberi parkir percuma.

“Oleh itu saya harap semua pengunjung, mai mai… sila datang. Parkir adalah percuma mulai sekarang hingga 22 September ini. Terima kasih kepada semua dan pengunjung akan datang nanti,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Sehubungan itu, Menteri itu yang juga dikenali sbagai Mat Sabu berkata pergerakan masuk kereta pengunjung semakin lancar selepas pelaksanaan tersebut dilakukan.

Sebelum ini, bayaran dikenakan sebanyak RM5 dikenakan kepada pengunjung yang hadir menerusi bayaran tanpa tunai menggunakan Touch n Go atau kad debit.

Pada hari Jumaat, beliau mengarahkan pihak Sekretariat MAHA 2024 untuk menyediakan dan mengubah ruang solat Jumaat ke lokasi lain yang lebih selesa serta besar.

Ia susulan kawasan untuk menunaikan solat Jumaat yang diuruskan pihak berkenaan tidak selesa hingga menyebabkan jemaah terpaksa berpanas.

Acara dwitahunan itu meraikan 100 tahun penganjurannya dengan menampilkan pelbagai aktiviti menarik buat pengunjung.

Bertemakan ‘Menuai Harapan, Membina Masa Hadapan’, pameran pertanian utama dan terbesar di Asia Tenggara yang menyediakan lebih 2,000 ruang jualan dan pameran itu akan dibuka mulai jam 10 pagi hingga 10 malam sepanjang 12 hari acara itu diadakan.

 

 

PALING POPULAR

To Top