Umum

PAS yakin kekuatan, pengaruh Bersatu semakin bertambah

PAS yakin sokongan terhadap rakan komponennya dalam Perikatan Nasional (PN), Bersatu, tidak pernah luntur malah pengundi dilihat cenderung untuk menyokong parti pimpinan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.

Sehubungan itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyangkal dakwaan bahawa parti Islam itu mahu kembali bersama UMNO kerana Bersatu sudah hilang pengaruh.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata PAS yakin Bersatu mempunyai pengaruh dan kekuatan tersendiri.

“Saya rasa tidak hilang pengaruh kerana keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Melaka, kita tengok pengaruh Bersatu masih kuat dan ada sokongan.

“Malah, hasil soal selidik yang kita buat pun mereka ada sokongan dan menang di Melaka dan di Johor. Saya fikir Bersatu ada pengaruh walaupun mungkin jentera di cawangan tidak sekuat PAS.

“Tetapi secara realiti kita ada kira-kira 43 peratus pengundi atas pagar yang baru kali pertama mengundi.

Kita lihat ada kecenderungan mereka (mengundi) rakan kita daripada Bersatu,” katanya menurut laporan BH.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Ceramah 3 Menteri Besar PAS dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di Pra Himpunan Teguh Pertahan di Dataran Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Kuala Nerus, malam tadi.

Tuan Ibrahim juga menafikan dakwaan Bersatu hanya mahu menumpang jentera PAS dalam menghadapi PRU-15.

Katanya, PAS bersama Bersatu serta gabungan parti politik yang ada di dalam PN saling membantu antara satu sama lain bagi memastikan kemenangan bersama di dalam PRU-15.

“Kita bersama (dan) apabila kita dalam muafakat politik, tidak timbul soal jentera (dan) kita bersama-sama ke arah kemenangan bersama.

“(Jadi) tak timbul soal tumpang-menumpang kerana bagi kita setiap parti ada kelebihan dan ada kekurangan yang kita saling tampung-menampung,” katanya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim juga memaklumkan sebuah jawatankuasa ditubuhkan bagi merangka asas serta dasar utama tawaran PN kepada rakyat pada PRU-15.

Menurutnya, usaha itu merangkumi pemulihan ekonomi negara pasca pandemik Covid-19.

Selain itu tawaran masalah berkaitan alam sekitar termasuk perubahan iklim yang menyebabkan banyak eko sistem dunia berubah sekarang.

“Manifesto itu kelak turut menawarkan aspek kebajikan rakyat, kerajaan integriti serta menjamin keadilan rakyat.

“Kita sedang merangka manifesto bersama parti-parti dalam gabungan PN, kita cuba draf, jawatankuasa tersebut pun telah diwujudkan untuk kita bincang.

“Bagi negeri-negeri pula akan ikut sahaja dengan kerajaan pusat, tetapi ada juga negeri rangka manifestonya sendiri di negeri yang kita tadbir,” katanya.

Tuan Ibrahim yang juga berkata, buat masa ini pemilihan calon tidak menjadi keutamaan walaupun sudah ada suara yang menuntut.

Namun kata beliau pihaknya kini sedang memberi tumpuan kepada persiapan jentera parti serta pengagihan kerusi bersama parti dalam PN.

Beliau berkata persiapan jentera pilihan raya dan pembahagian kerusi dalam PN perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum pengumuman nama-nama calon.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top